Jumaat, 28 Julai 2017

Guan Eng umum barisan Pakatan P Pinang


GEORGETOWN – Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini mengumumkan  Majlis Kepimpinan Pakatan Harapan negeri ini yang dipengerusikan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan lima daripada 11 anggotanya terdiri daripada ahli DAP.
Guan Eng ketika mengumumkan barisan kepimpinan itu berkata struktur organisasi pakatan harapan Pulau Pinang itu diputuskan pada mesyuarat pertama Pakatan Harapan negeri pada 23 Julai lepas.
Struktur organisasi itu terdiri daripada empat timbalan pengerusi iaitu Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman; Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow; Pengerusi Amanah negeri Datuk Mujahid Yusuf dan Pengerusi Bersatu negeri, Marzuki Yahya.
Jawatan Setiausaha Majlis Kepimpinan Pakatan Harapan negeri pula diisi oleh Setiausaha Politik Ketua  Menteri Wong Hon Wai (DAP) manakala  Exco kerajaan negeri Jagdeep Singh Deo (DAP) sebagai bendahari dan Dr Afif  Bahardin (PKR) sebagai ketua penerangan.
Struktur organisasi itu juga turut menamakan Kon Yeow yang juga Exco kerajaan negeri sebagai Pengerusi  Jawatankuasa Manifesto dan Adun Sungai Pinang, Lim Siew Khim dari DAP sebagai Ketua Wanita Pakatan Harapan Pulau Pinang.
Guan Eng pada sidang akhbar itu berkata konvensyen Pakatan Harapan dijadual diadakan pada 24 September di Seberang Perai Arena sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA