Isnin, 31 Julai 2017

Golongan muda di sebalik usaha Dr M tumbangkan Najib

Sekiranya anda belum mengetahui, walaupun pada usia 92 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sebarangan lelaki tua.
Meskipun diserang deman selsema, pemikiran pemimpin veteran itu kekal begitu tajam dan cergas, di sebalik jadual ketatnya menerajui parti barunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), dalam usaha untuk menumbangkan Perdana Menteri Datuk seri Najib Razak.
Ketika pemimpin berusia hampir seabad itu cuba mengemudikan hala tuju kapalnya, ramai yang tidak sedar, sebenarnya pendayung yang menggerakkan kapal itu terdiri daripada golongan berdarah muda.
Menurut pemimpin Bersatu, setakat Jun tahun ini, 55 peratus daripada 200,000 anggota parti itu berusia di bawah umur 35 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEA), Wan Saiful Wan Jan (foto - atas, kiri), yang sedang membuat kertas penyelidikan mengenai BERSATU, berkata tidak mungkin terdapat parti politik lain di Malaysia yang berbangga mempunyai jumlah keahlian belia yang sebegitu ramai.
Jadi apa yang mendorong orang muda untuk menyertai parti yang diterajui oleh seorang pemimpin tua?
Wan Saiful berkata, ini adalah berdasarkan tiga faktor - ketokohan Mahathir sendiri; kemarahan terhadap pentadbiran semasa; dan kewibawaan ketua ARMADA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (foto -bawah, kanan).
Menurut beliau, anggota-anggota ARMADA paling tua dilahirkan pada tahun 1982, iaitu hanya setahun selepas Mahathir menjadi perdana menteri.
"Selama 22 tahun, mereka hidup di bawah pentadbiran Mahathir dan membesar serta menikmati banyak pembangunan yang dibawa oleh Mahathir ke negara ini.
"Tetapi mereka juga terlalu muda untuk memahami sebarang kritikan yang dilemparkan ke atas Mahathir sepanjang masa ini.
“Oleh itu, bagi kebanyakan mereka, hingga hari ini, Mahathir adalah wira," kata Wan Saiful.
Pandangan ini disokong oleh Syed Saddiq yang memberitahu Malaysiakini bahawa semasa perbalahan antara Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998, sesetengah anggota ARMADA hanya berumur enam tahun.
Malah, katanya, dirinya, ketika itu hanya pada usia empat tahun.

"Walaupun kami dimaklumkan mengenai apa yang berlaku, kami juga menyaksikan kemajuan pesat yang di lalui Malaysia," kata Syed Saddiq.
Bagi Ketua Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff (foto - atas, kiri), golongan belia hari ini juga mendapat inspirasi melihat usaha Anwar dan Mahathir cuba menjalinkan semula hubungan mereka baru-baru ini yang selama ini telah berkecai.
"Apabila mereka melihat kedua-dua pemimpin ini bersungguh-sungguh bersama untuk menyelamatkan negara, ini adalah tarikan serta merta bagi mereka menyertai BERSATU," kata Rais.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA