Selasa, 25 Julai 2017

Fuziah: Lynas melulu dakwa produk masih diuji Sirim selamat

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Madius Tangau bersetuju dengan Fuziah Salleh yang Lynas mengeluarkan kenyataan melulu kerana Sirim sedang menjalankan ujian pengesahan keselamatan ke atas produk Condisoil.
lynas-sirim
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menyifatkan Lynas bertindak melulu dengan mendakwa salah satu produknya selamat digunakan, sedangkan ia masih diuji Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).
“Lynas kata produk Condisoil tiada toksin, karsinogen dan radioaktif. Ini kenyataan melulu sebab menteri sendiri mengatakan ia masih dalam ujian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Wakil rakyat PKR itu mengulas jawapan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau di Dewan Rakyat pagi tadi yang berkata, laporan akhir ujian keselamatan bagi produk Condisoil dijangka siap Ogos ini.
“Lynas sudah melantik Sirim sebagai perunding standard bagi Condisoil. Buat masa ini, ujian pengesahan keselamatan sedang dijalankan.
“Lynas juga sudah kemukakan permohonan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk kelulusan penggunaan Condisoil dan terpulang kepada JAS membuat keputusan.
“Saya setuju dengan Kuantan yang Lynas mengeluarkan kenyataan melulu,” katanya.
Isnin lalu, Lynas dilaporkan berkata, produk Condisoil yang diproses daripada sisa di kilang mereka bakal dipasarkan tidak lama lagi.
“Kami dalam proses mendaftarkan Condisoil dengan JAS dan Jabatan Pertanian, dan dijangka diluluskan pada masa terdekat,” kata Naib Presiden Lynas Malaysia Sdn Bhd, Datuk Mashal Ahmad.
Beliau berkata, ia tidak mengancam “orang ramai, haiwan, alam sekitar dan tanaman”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA