Ahad, 2 Julai 2017

Fokus pengundi wanita, saran bekas senator



Jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) perlu menjalankan operasi khas terhadap pengundi wanita yang kini melebihi 50 peratus dalam daftar pemilih bagi menghadapi PRU ke 14.
Bekas senator, Ustazah Jamilah Ibrahim berkata kumpulan ini memerlukan perhatian khas untuk bersemuka dengan mereka bagi menyampaikan maklumat.
Jamilah Ibrahim"Bagi wanita tiada jalan pintas, kita perlu datang kepada mereka dan tidak boleh berharap mereka mencari kita," katanya ketika meraikan rumah terbuka Aidlfitri Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kelantan di Wisma Tok Guru, Salor kelmarin.
Ustazah Jamilah yang menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Amanah Nasional yang berlangsung Khamis lalu melanjutkan kehadiran ke Kelantan dua hari lagi atas permintaan untuk menghadiri beberapa majlis sambutan raya.
Golongan wanita menurutnya, amat terdedah dengan dakyah pemerintah melalui propaganda media dan bentuk pendekatan gula-gula yang selalu jadi senjata pihak pemerintah.
"Pihak PH perlu mengatur program berterusan dengan ziarah rumah ke rumah dan program kecil di semua lokaliti bagi memberi penerangan bersemuka dengan pengundi wanita.
"Latihan perlu diadakan lebih kerap kepada perayu-perayu untuk supaya mereka memiliki kemahiran untuk memahami cara kempen yang berkesan kepada kelompok ini," katanya.
Beliau yang memberitahu berpengalaman lebih 25 tahun memimpin gerakan wanita yakin kalah menang seseorang calon dalam pilihan raya di negara ini amat bergantung kepada sokongan wanita.
"Jangan pandang remeh undi kaum hawa jadi pastikan peringatan diberi kepada para suami untuk membawa bersama isteri dan anak-anak perempuan masing-masing dalam majlis penerangan PH.
"Jangan jadi suami pangkah PH dalam pilihan raya tapi isteri pi pangkah parti lawan," katanya dalam loghat negeri Kedah.
Ustazah Jamilah adalah bekas Ketua Muslimat Pas pusat yang memegang jawatan itu selama 18 tahun.
Beliau pernah dilantik oleh Dewan Negeri Kelantan sebagai senator di Dewan Negara selama dua penggal semasa almarhun Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi menteri Besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA