Khamis, 13 Julai 2017

Enakmen Jenayah Syariah Terengganu hanya laksana jika BN setuju


Ahmad Razif Terengganu hanya akan mengikuti jejak langkah Kelantan menambah baik enakmen berkaitan jenayah syariahnya jika mendapat persetujuan semua pihak, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Katanya ini termasuk parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili kaum dan agama lain.
"Kerajaan Terengganu pada dasarnya menyokong RUU (rang undang-undang) itu tapi apa-apapun kita perlu mendapat pandangan daripada parti-parti komponen yang lain seperti MCA, MIC dan Gerakan sebelum ia dilaksanakan.
"Kita kena ambil tahu keperluan mereka, pandangan dan kebimbangan mereka jika undang-undang itu dilaksanakan. Tapi kita akan memberi penjelasan sebaiknya jika ingin melaksanakan undang-undang berkenaan," katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Badan Perhubungan Umno Negeri, hari ini.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zuber Embong dan kepimpinan UMNO Negeri serta parti-parti komponen MCA dan MIC Negeri.
Semalam Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan RUU Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.
RUU itu juga memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

1 ulasan:

  1. Dah 60 tahun merdeka, bila agaknya BN akan setuju?
    Parti komponen dari Sabah, Sarawak, MCA dan MIC dah terang terang kata tak setuju.
    Jadi cakap MB ni cakap kosong shj.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA