Rabu, 26 Julai 2017

Dr Mahathir sahkan rancangan PH hadkan penggal PM

Bekas perdana menteri itu berkata, gabungan pembangkang mungkin mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 2 penggal, iaitu 10 tahun jika ia berjaya menawan Putrajaya.
mahathir-perdana-3
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan rancangan Pakatan Harapan (PH) mengehadkan penggal jawatan perdana menteri, jika gabungan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi PH yang pernah menjadi perdana menteri sejak 1981 hingga 2003 berkata, idea itu bertujuan mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan memastikan wujud pengasingan kuasa antara badan perundangan, kehakiman dan eksekutif.
Langkah utama dalam rancangan itu ialah mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan perdana menteri, mungkin 2 penggal berturut-turut.
“Mungkin kita akan mengehadkan jawatan perdana menteri kepada 2 penggal. 1 penggal (5 tahun) terlalu pendek untuk berbuat apa-apa, saya rasa 2 penggal (10 tahun) adalah elok,” kata pengerusi PPBM berusia 92 tahun itu yang dipetik Malaysiakini hari ini.
“Tetapi, kita memerlukan peruntukan undang-undang untuk itu, kita memerlukan badan ke-3 yang boleh mengambil tindakan terhadap perdana menteri untuk mengehadkan kuasanya,” katanya dalam Dialog Tokoh Politik Bersama Cendekiawan Melayu anjuran Gabungan Intelektual Melayu di Putrajaya, hari ini.
Cadangan pembangkang itu pertama kali disuarakan secara terbuka oleh Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 22 September 2016. Katanya, ia penting untuk mengelakkan krisis pengurusan dan penyalahgunaan kuasa yang didakwa dilihat dalam pentadbiran BN sekarang.
Mukhriz turut menjawab soalan tidak dapat dielakkan kenapa Dr Mahathir, yang pentadbiran dikritik kerana memenjarakan pemimpin pembangkang tanpa perbicaraan dan mengurangkan kuasa badan kehakiman, tidak melaksanakan syarat itu ketika beliau memimpin negara.

“Mungkin ada orang yang akan kata Dr Mahathir ialah perdana menteri selama 22 tahun.
“Tetapi, itu dahulu. Selepas apa yang berlaku dengan (perdana menteri sekarang) Najib Razak, ini perlu diubah. Kami tidak mahu perkara sama berulang lagi.
“Jadi, biar ia menjadi amalan yang seseorang hanya boleh kekal sebagai perdana menteri selama 2 penggal, jika rakyat membenarkannya kekal untuk penggal ke-2,” katanya.
Pada 4 Oktober tahun lalu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, tindakan mengehadkan penggal jawatan itu akan membolehkan perdana menteri bersara dengan baik sambil dihormati rakyat.
Beliau berkata, idea itu berdasarkan model digunakan Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk presiden dan perdana menteri mereka.
Katanya, langkah itu boleh diperkenalkan dengan meminda Perkara 40 (3) Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, ia juga boleh dilakukan dalam bentuk “konvensyen” dan pembangkang akan mengadakan perbincangan dengan ahli akademik dan pemimpin negara veteran untuk memperhalusi inisiatif itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA