Khamis, 27 Julai 2017

Dr Mahathir ketuai PH tidak disenangi penyokong pembangkang, dakwa akhbar Umno



Majoriti peserta yang hadir dalam Forum ‘Mahathir Ejen Perubahan atau Ejen Pemusnah’ anjuran Kelab Bangsar Utama melahirkan kekecewaan dan tidak bersetuju dengan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pengerusi pakatan tersebut, dakwa akhbar Umno.
Empat panel jemputan iaitu aktivis pembangkang, Hishamudin Md. Rais; Presiden Amanah Mohamad Sabu; Dr. Michael Jayakumar Devaraj daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Haris Ibrahim daripada Asal Bukan Umno (ABU) dilihat gagal menjawab soalan mengapa pembangkang perlu bergantung pada bekas Perdana Menteri itu untuk melakukan revolusi dan perubahan lapor Utusanonline.
Seorang peserta yang memperkenalkan diri sebagai Ahmad dan telah mengundi sebanyak dua kali dalam pilihan raya umum mempersoalkan siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya kelak, namun mendapat jawapan sinis daripada Hishamuddin.
“Siapa Perdana Menteri itu tidak penting kerana soalan itu soalan bangang, beli lembu pun belum tetapi dah sibuk nak letak lembu di mana,” jawab Hishamudin.
Seorang lagi peserta yang memperkenalkan diri sebagai Haris mendakwa, dia merupakan pengikut tegar zaman reformasi dahulu dan lantang melabelkan kesemua pemimpin pembangkang hari ini sebagai badut kerana tidak belajar daripada kesilapan lalu.
“Kami dah letih nak mendengar badut-badut semua ini menyampaikan ceramah politik. Dahulu kutuk dan hasut kami mengenai Mahathir, kata dia bapa segala kejahatan, tetapi hari ini gembira menjalin kerjasama dengan Maha Firaun itu?
“Dulu kutuk Mahathir,sekarang bekerjasama dengan Mahathir kutuk Najib. Esok lusa turun bekerjasama pula dengan Najib? Tidak pernah belajar daripada kesilapan lalu,” katanya sebelum meninggalkan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) tempat forum itu berlangsung setengah jam sebelum program itu berakhir pukul 11 malam.
Sementara itu, Michael Jeyakumar yang juga Ahli Parlimen Sungai Siput cuba memberi penjelasan kepada peserta iaitu pembangkang memerlukan Dr. Mahathir untuk mendapatkan undi orang Melayu di kawasan kampung kerana majoriti mereka masih percaya terhadap kepemimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno.

“Kita nak masukkan Dr. Mahathir sebab sebelum ini kita gagal mengurangkan kekhuatiran orang Melayu yang kebanyakannya bimbang jika pembangkang menang, segala subsidi yang diterima akan ditarik balik,” katanya.
Mohamad pula mengakui meskipun Dr. Mahathir menjadi pengerusi dalam pembangkang, barisan kepemimpinan tertinggi lain berperanan seperti diktator terhadapnya.
“Soal diktator atau kuku besi, kami telah mengadakan mesyuarat rasmi dan tidak rasmi berkali-kali, banyak cadangan beliau ditolak oleh kami. Orang muda perlu berfikir luar daripada kotak sebab yang ditimpa masalah hingga masuk ke penjara, didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) gara-gara Dr. Mahathir sebelum ini ialah kami, tetapi kami telah pun memaafkannya,” katanya.
Isnin lalu, Otai Reformis 1998 secara konsensus menolak kehadiran Dr.Mahathir dalam Pakatan Harapan dan berhasrat memboikot kempen parti yang disertai oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
Setiausahanya, Abdul Razak Ismail berkata, penolakan itu dibuat kerana merasakan bekas Perdana Menteri itu bukan calon yang layak untuk dijadikan sebagai pemimpin contoh kepada pakatan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA