Rabu, 26 Julai 2017

Dr M: Saya memang tahu kandungan laporan 1MDB

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui beliau mengetahui kandungan laporan tiga pihak berkuasa negara ini dalam siasatan mereka terhadap 1MDB.
Katanya, laporan disediakan Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Audit Negara berkenaan ada dalam pengetahuannya.
"Saya tahu. Saya memang tahu," katanya dalam blog beliau hari ini.
Menurut Dr Mahathir, Tan Sri Abdul Gani Patail - yang ketika itu masih berkhidmat sebagai peguam negara - menunjukkan laporan Bank Negara kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa beliau masih menjadi timbalan perdana menteri.
Muhyiddin pula, katanya, sering menyebut mengenai laporan yang ditunjuk kepadanya oleh Abdul Gani itu sebelum beliau dipecat.
"Dan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), termasuk saya, telah bincang (mengenai) laporan-laporan ini.
"Sebab itu saya tahu," katanya.
Justeru Dr Mahathir yang kini menjadi pengerusi BERSATU dan Pakatan Harapan (HARAPAN) mencabar Tan Sri Mohamed Apandi Ali - yang menggantikan Abdul Gani - bersumpah.
Butiran tentu direkodkan
"Saya tahu Apandi bohong, sebab itu (dia) letak laporan (mengenai siasatan 1MDB) itu di bawah Akta Rahsia Rasmi.
"Kami tahu dan Tuhan lebih tahu. Jika berani bersumpahlah," katanya lagi.
Pada 17 Julai lalu Dr Mahathir berkata jika HARAPAN berjaya mengalahkan BN dalam pilihan raya umum ke-14 nanti, mereka akan memanggil Apandi untuk ditanya mengenai penggunaan OSA bagi menutup apa yang didakwa beliau sebagai bukti penyelewengan 1MDB.
Bagaimanapun Apandi menegaskan, beliau tidak menyembunyikan sebarang bukti salah laku atau jenayah membabitkan syarikat pelaburan milik kerajaan itu.
"Saya tidak takut sesiapa, termasuk Mahathir. Saya tidak takut kepada manusia, tetapi saya takut kepada Allah," katanya.

Kata Dr Mahathir tiada wang boleh dipindah dari satu pihak ke pihak lain tanpa membabitkan dokumen.
Wang dalam jumlah yang besar - sama ada berbilion atau juta - juga tidak boleh disimpan sebagai wang tunai sebaliknya disimpan di dalam bank.
Dalam keadaan begitu, katanya, butiran transaksi itu direkodkan, termasuk pemiliknya, jumlah, mata wang, tarikh dan punca kekayaan orang yang menderma.
"Juga akan disebut nama penerima, hari bulan dan segala transaksi yang melibat wang berkenaan.
"Tidak mungkin wang tunai sebanyak itu diguna. Semua transaksi menggunakan cek. Dan segala-galanya ditulis dalam cek berkenaan, dan buku akaun bank," katanya.

1 ulasan:

  1. AG bimbng apa akn jadi dirinya jika PH berkuasa nnti...

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA