Sabtu, 22 Julai 2017

Dr M: Melayu takkan terima DAP tanding bawah bendera PPBM

Pengerusi PPBM berkata partinya perlu kekal sebagai parti Melayu untuk raih sokongan pengundi Melayu kerana masyarakat Melayu 'masih sangat komunal'.
mahathir-1PETALING JAYA: DAP tidak boleh bertanding pilihan raya di bawah bendera PPBM sekiranya pendaftaran parti itu terbatal dan usaha menjadikan Pakatan Harapan gabungan rasmi gagal.
Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan partinya perlu kekal sebagai parti Melayu untuk raih sokongan pengundi Melayu, kerana PH akan tempang pada pilihan raya umum akan datang tanpa sokongan masyarakat itu.
Keadaan itu yang menyebabkan Pakatan Rakyat gagal menang pilihan raya umum 2013, tambahnya.
“Suka atau tidak, orang Melayu masih sangat komunal, sebab itu mereka sokong Umno.
“Mereka tidak akan sokong parti berbilang kaum. Mereka (Pakatan Rakyat) raih banyak sokongan orang Cina, tapi tidak banyak sokongan orang Melayu dan tanpa mereka kamu tidak boleh menang.
“Jadi kami akan gantikan Umno, bukan jadi seperti Umno, tetapi sebagai sebuah parti Melayu.”
Ahli politik berusia 92 tahun itu berkata demikian kepada pemberita di majlis rumah terbuka anjuran ahli politik DAP, Datuk Zaid Ibrahim hari ini.
Pengerusi PH itu ditanya sama ada DAP boleh bertanding pilihan raya umum nanti sekiranya pendaftaran mereka dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (PPBM).
Ia susulan arahan JPPM kepada parti itu untuk mengadakan pemilihan semula pemegang jawatan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP.
Ketua Pengarah JPPM Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata CEC DAP tidak akan diiktiraf dan jawatankuasa itu tidak boleh berfungsi secara sah sekiranya DAP gagal mengikut arahan itu.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam mengumumkan mereka akan mengadakan pemilihan baru bagi mengelakkan pendaftaran dibatalkan.
“Ada 2 parti lain (dalam PH) yang berbilang kaum. DAP boleh bertanding di bawah 2 parti itu (kalau pendaftaran mereka dibatalkan),” kata Dr Mahathir.
“Saya yakin PKR dan Amanah akan terima mereka, tetapi kita tidak boleh, kerana kita parti Melayu,” kata Dr Mahathir.

Beliau kemudian tunjuk kepada Zaid yang duduk di sebelahnya, dan secara berseloroh kata, “Dia boleh, dia tulis buku ‘Saya juga Melayu’.”
Bekas perdana menteri itu berkata walaupun ada dalam kalangan orang Melayu yang menolak rasisme, hakikatnya masih ada orang Melayu yang berfikiran begitu.
Justeru, PPBM dan PH perlu memenuhi kemahuan semua golongan masyarakat untuk berjaya.
“Kita tak berminat dengan objektif parti masing-masing. Kita berminat dengan apa yang rakyat mahu.
“Hari ini, rakyat mahu singkirkan (Perdana Menteri) Najib (Razak). Semua parti bersetuju dalam perkara ini,” katanya.
Ditanya sama ada PH akan berusaha mengubah pemikiran Melayu sekiranya membentuk pilihan raya akan datang, Dr Mahathir mengiyakan perkara itu tetapi mengingatkan ia akan mengambil masa yang lama.
“Orang perlukan masa yang lama untuk buang perasaan syak wasangka.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA