Jumaat, 14 Julai 2017

Di mahkamah pun, Dr Mahathir serang Najib


Di mahkamah pun, Dr Mahathir serang Najib
Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk menjadi saksi kes saman fitnah difailkan anaknya. 
PENGERUSI Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang beliau mencuba untuk menggulingkan Perdana Menteri Najib Razak sejak 2014 hinggalah sekarang.
Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam defendan Jahaberdeen Mohamed Yunoos dalam perbicaraan kes saman fitnah difailkan anaknya Mukhriz terhadap setiausaha akhbar Najib, Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad.
Dalam keterangannya, Dr Mahathir memberitahu mahkamah Najib yang mencemarkan imej Malaysia, bukan dirinya.
“Nama Malaysia buruk pada masa sekarang, bukan sebelum ini,” katanya.
Dr Mahathir menjadi saksi kedua yang dipanggil memberi keterangan hari ini.
Terdahulu, peguam Mohammed Haniff Khatri Abdulla menyerahkan keterangan bertulis Dr Mahathir kepada mahkamah berhubung kes saman fitnah itu.
Dokumen 10 halaman itu mengandungi soalan dan jawapan berkenaan kenyataan berunsur fitnah dibuat Tengku Sarifuddin yang disiarkan di media.
Sebelum itu, plaintif iaitu Mukhriz memberi keterangan dalam sesi soal balas di mana beliau ditanya mengenai saman yang difailkan terhadap Tengku Sarifuddin.
Kebanyakan soalan berkaitan dengan perkara teknikal dan penggunaan perkataan dalam artikel itu yang didakwa mengandungi kenyataan memfitnah.
Mukhriz memfailkan saman fitnah terhadap Tengku Sarifuddin pada 3 Mei tahun lalu.
Beliau mendakwa Tengku Sarifuddin mengeluarkan empat kenyataan media berunsur fitnah terhadapnya iaitu pada 15, 20, 23 dan 26 April.
Bekas menteri besar Kedah itu berkata beliau memberikan notis menerusi kenyataan media pada 21 April meminta Tengku Sarifuddin menarik balik kenyataan itu atau berdepan tindakan undang-undang.
Perbicaraan ditangguhkan pada 19, 20 dan 21 Oktober.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA