Khamis, 13 Julai 2017

Di Lembah Klang, PH masih perlukan PAS......


Di Lembah Klang, PH masih perlukan PAS
Sekiranya Pakatan Harapan gagal mencari jalan perdamaian dengan PAS dalam PRU 14, pertembungan tiga penjuru bakal berlaku yang hanya merugikan pakatan pembangkang. 
PETANDA paling jelas yang Pakatan Harapan (PH) memerlukan sokongan bekas sekutunya, PAS untuk menakluk Putrajaya datang daripada salah seorang tokoh pentingnya, Azmin Ali.
Menteri besar Selangor itu mungkin tidak terus terang mengakuinya. Tetapi tindakannya sejak beberapa minggu ini menunjukkan yang PH memerlukan PAS hatta di kota metropolitan Kuala Lumpur dan Selangor.
Lembah Klang mempunyai pengundi celik politik paling tinggi di negara ini.
Pada pilihan raya umum 2013, parti PH memenangi 17 kerusi Parlimen dan 44 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
Daripada 13 kerusi di Wilayah Persekutuan, parti PH iaitu DAP dan PKR memenangi semua kerusi yang ditandingi kecuali kerusi Putrajaya, Labuan, Setiawangsa dan Titiwangsa.
Tetapi sekarang, masih tidak jelas adakah parti PH mampu mengekalkan jumlah kerusi yang dimenangi pada 2013 sekiranya ia menentang PAS dan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.
Rasional Azmin
Selepas perpisahan dengan DAP dan PKR, PAS mengumumkan yang mereka mahu bertanding di 40 kerusi Parlimen seluruh negara.
Mei lalu, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan PAS Mohd Farhan Mohd Zain berkata yang parti Islam itu mahu bertanding di sembilan daripada 13 kerusi Wilayah Persekutuan. Sembilan kerusi sekarang dimiliki PKR, DAP dan BN.
Farhan berkata yang PAS akan memberi tumpuan kepada pengundi Melayu Islam dalam kawasan itu yang membentuk jumlah pengundi sebanyak 94% (di Putrajaya) sehinggalah hanya 4% (Kepong).
Mesej utamanya akan berkisar kepada jenama politik Islam PAS yang diharap akan meraih sokongan Melayu Islam.
“Barisan Nasional dan Pakatan Harapan tidak mempunyai visi pembangunan negara berasaskan syiar agama,” kata Mohd Farhan kepada The Malaysian Insight.
Seperti yang dijelaskan penganalisis politik, sejarah pilihan raya Malaysia membuktikan yang apabila dua parti pembangkang bersemuka dengan BN, undi mereka akan terpecah dan akhirnya rejim pemerintah akan memenangi pilihan raya sekali lagi.
Pada 2013, situasi ini berlaku di dua kerusi kawasan bandar di Selangor, Semenyih dan Kota Damansara apabila dua calon pembangkang bertanding menentang calon BN. Walhal, sekiranya mereka mencampurkan undi yang mereka terima, salah satu parti pembangkang sebenarnya boleh memenangi kerusi tersebut.
Sumber dalaman PH mengatakan yang dua kes itu ialah sebab utama mengapa Azmin yang juga merupakan timbalan presiden PKR terus berbincang dengan PAS walaupun parti Islam itu dikatakan sudah memutuskan kerjasama politik dengan PKR.
Kemampuan PAS untuk meraih sokongan secukupnya di Lembah Klang serta menyekat peluang PH menenangi pilihan raya sangat serius sehinggakan Azmin bersedia untuk berdepan kemarahan sekutu sedia ada dalam PH.
PKR kini bersekutu dengan DAP, Amanah dan Bersatu.
“Kita perlu terus buka pintu kepada PAS. Kita faham kemarahan rakan kita. Tetapi mereka juga perlu faham yang PAS masih lagi penting untuk menewaskan BN,” kata pemimpin PH yang menjelaskan pendirian Azmin.

Difahamkan, kerusi yang dimiliki personaliti terkenal PKR seperti Nurul Izzah Anwar di Lembah Pantai, Chua Tian Chang (Batu) malah kerusi milik Azmin di Gombak bakal tergugat dengan pertembungan tiga penjuru.
Peluang terbaik PH untuk terus memiliki kerusi itu ialah membentuk pakatan pilihan raya dalam PRU 14 bagi memastikan pertandingan dua penjuru antara pembangkang dan BN.
Menyandarkan harapan
Bagaimanapun, PH sedang menyandarkan harapan mereka kepada situasi semasa, kerana tidak seperti ahli PAS di tempat lain seluruh negara, majoriti mereka yang berada di Lembah Klang masih lagi rapat dengan PH.
“Sehingga hari ini, kami tidak ada masalah dengan ahli akar umbi PAS. Kami masih lagi berhubungan dengan mereka dan kami masih membantu program mereka,” kata Hazrul Fahmi Ahmad, seorang pemimpin akar umbi PKR di Kuala Lumpur.
Semangat setiakawan akar umbi ini yang membuatkan pemimpin PKR seperti Fahmi Fadzil optimis yang persefahaman untuk mengadakan pakatan sewaktu pilihan raya boleh dilakukan dengan PAS bagi kerusi di Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Hakikatnya untuk mengalahkan BN, kita perlu mencari jalan bagi memastikan pertandingan dua penjuru. Itu yang menyebabkan kita terus membuka saluran komunikasi dengan PAS. Pertembungan banyak penjuru hanya menyebabkan BN menang.”
Difahamkan yang harapan ini juga disuarakan PAS. Beberapa pemimpinnya sedang cuba mewujudkan pakatan untuk pertembungan dua penjuru yang hanya akan berlaku di Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Tetapi sama ada pakatan akan menjadi kenyataan masih boleh dipersoalkan, memandangkan kuasa dalam PAS berpusat kepada presidennya, Abdul Hadi Awang.
Dan Hadi berulang kali mengatakan yang PAS akan membentuk blok pembangkang ketiga dikenali sebagai Gagasan Sejahtera, yang akan menentang PH dan BN.
Seorang pemimpin kanan PKR yang berurusan dengan Hadi percaya masih ada ruang perbincangan.
“Hadi mungkin kelihatan begitu tetapi dia masih praktikal dalam menentukan apa yang perlu dilakukan,” kata pemimpin PKR yang meminta namanya tidak disiarkan.
“Kerana akhirnya, Hadi masih lagi seorang ahli politik.”

3 ulasan:

  1. Aku puji Azmin kerana mempunyai wawasan dan aqal panjang malah tidak beremosi. Demi rakyat, pas dan ph kena bergabung. Rakyat banyak menderita di bawah BN dgn pelbagai cukai, subsidi ditarik. Demi islam aku harap pas boleh memberi kerjasama.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tapi kan PADPISPUS ni nk jd penasihat kerajaan penyamun 1 malaysia...yg sefahaman assobiyah spt umno/bn...kerajaan penyamun nk nasihat...apa cara samun atau rompak yg tak melanggar undang2 fahaman mazhab tuang presideng....sepatutnyer PH kena kerja keras lg utk mendedahkan perangai hopkrit PSSPISPUS ni....

      Padam
  2. pkr xtau malu kan. pas kata xnak sudahlah.. apahal nk paksa2... kalau pkr beria sgt meh masuk gagasan sejahtera balak gumbira..

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA