Khamis, 27 Julai 2017

Dengar masalah kami, berhenti beri ‘gula-gula’, kata peneroka Felda

KEBANYAKAN peneroka Felda tidak teruja dengan enam insentif diumumkan Perdana Menteri Najib Razak hujung minggu lalu dan mengatakan ia tidak membantu menyelesaikan masalah mereka.
Mereka berkata, Felda seharusnya memanggil peneroka untuk berbincang mengenai apakah masalah utama yang dihadapi mereka dan bukannya hanya memberikan “gula-gula”.
“Kalau amalkan sistem ini setiap masa, Felda ini ibarat bapa yang berikan gula-gula kepada anak setiap kali anak merajuk,” kata Mat Ali Musa, 69, dari Felda Purun di Bera, Pahang kepada The Malaysian Insight.
Pengerusi Suara Generasi Ke-2 Felda, Zainuddin Mat Naan berpendapat enam insentif yang diberikan kerajaan tidak akan mampu menyelesaikan masalah utama dihadapi peneroka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai 26, 2017.“Kalau macam ni, sampai bila nak selesaikan masalah?” soal Ali mengulas enam insentif kepada peneroka Felda yang diumumkan Najib.
Ali berkata, sekiranya tidak dipanggil berbincang, Felda tidak akan mengetahui apa sebenarnya masalah mereka.
“Sebab itu saya kata peneroka perlu dipanggil untuk berbincang. Peneroka tak setuju dengan hutang kepada Felda Technoplant (FTP) yang menguruskan penanaman semula.
“Insentif RM5,000 tidak akan selesaikan masalah hutang kami dengan FTP,” katanya.
Felda Technoplant Sdn Bhd merupakan anak syarikat Felda – ditubuhkan pada 2005 untuk menguruskan kebun peneroka yang sudah mengeluarkan hasil dan tanaman semula.
Dalam pengumumannya hujung minggu lalu, Najib berkata bayaran insentif khas peneroka bernilai RM5,000 akan diberikan kepada 94,956 keluarga peneroka Felda yang layak, dengan jumlah peruntukan RM474.78 juta.
Pada Isnin, Suara Generasi Ke-2 Felda mengkritik enam insentif diumumkan Najib, mengatakan ia tidak menyelesaikan dua isu utama iaitu urus tadbir ladang dan penyata hutang.
Berapa sebenar jumlah hutang peneroka Felda?
Pengerusi Taskforce Felda Bersatu Wan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil mempersoalkan apakah Felda mengetahui jumlah hutang sebenar setiap 94,956 peneroka yang terlibat.
“Setiap peneroka tidak dapat maklumat secara telus jumlah hutang mereka.
“Felda menjanjikan sebelum ini setiap tiga bulan peneroka akan mendapat penyata hutang mereka,” katanya yang menetap di Jerantut, Pahang yang mempunyai hampir 20 peti undi kawasan Felda.
Beliau berkata, peningkatan hutang ini bukan kerana kelemahan peneroka akan tetapi kerana faedah pinjaman tanam semula sebanyak 6.5% yang sangat membebankan peneroka.
“Selain itu, kelemahan pengurusan menyebabkan sesetengah peneroka gagal menperolehi pulangan yang mencukupi untuk membayar semula hutang mereka walaupun selepas pulangan enam tahun.
“Sepatutnya selepas tempoh enam tahun peneroka boleh membayar semula pinjaman mereka mengikut jadual.
“Dengan pengurusan yang lemah di bawah FTP, pulangan atau yield peneroka sangat rendah dan ini di luar kawalan peneroka,” katanya yang juga ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu.
Zainuddin Mat Naan dari Felda Soeharto di Kuala Kubu Baru, Selangor berkata, insentif seperti pelupusan sebahagian baki pinjaman saham FGV kepada 77,934 peneroka hanyalah “bantuan kecil” yang tidak menjadi keperluan utama mereka.

“Sebenarnya tak dapat apa pun daripada saham itu. Jadi insentif ini tidak begitu membantu peneroka.
“Contohnya saya sendiri hutang untuk urus tadbir ladang dengan FTP mencecah RM141,000 dalam masa 10 tahun,” katanya.
Zainuddin yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Hulu Selangor berkata, sekiranya Najib tidak menyelesaikan dua isu utama iaitu urus tadbir ladang dan penyata hutang, tidak mustahil pembangkang akan mendapat lebih banyak undi daripada kawasan Felda.
“Kita bukan nak menentang kerajaan. Saya sendiri ahli Umno, pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Soeharto.
“Saya bimbang negara ni nanti di perintah orang lain. Kalau tak selesaikan masalah peneroka Felda, tidak mustahil pembangkang menang sebab isu yang mereka timbulkan tentang Felda itu semuanya betul,” katanya.
Minggu lalu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengatakan Felda kini bukan lagi kubu kuat Umno.
Terdapat 54 kerusi Parlimen dalam kawasan Felda dan Umno dan Barisan Nasional (BN) tewas di enam kerusi iaitu Raub, Kuala Nerus, Temerloh, Dungun, Kulai dan Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA