Khamis, 13 Julai 2017

Debat tidak perlu kerana saya tidak celaru, ujar Mahfuz


Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menolak cabaran debat Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Dr Mohd Zuhdi Marzuki kerana yakin beliau 'tidak celaru' dengan keputusan parti yang dianggotainya.
"Zuhdi nak jernihkan kecelaruan, saya tidak celaru pun jadi tak perlu dijernihkan apa-apa," katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Menurut Mahfuz, adalah sesuatu yang sia-sia untuk mendebatkan perkara yang telah diputuskan oleh parti dan telah diketahui umum seperti keputusan Pas memutuskan hubungan dengan DAP dan PKR.
Malah kata Mahfuz, tindakan berbelit-belit pemimpin Pas dalam melaksanakan keputusan parti sebenarnya menjadi punca ahli-ahli Pas dan penyokong parti berada dalam kecelaruan.
Beliau memberi contoh keputusan yang dicapai Pas dalam muktamar parti untuk memutuskan hubungan dengan DAP dan PKR namun masih berpendirian bahawa Pakatan Rakyat masih wujud khususnya di Selangor.
Sedangkan tambah beliau, DAP dan PKR adalah komponen Pakatan Rakyat.
"Bagaimana kita (Pas) nak jelaskan duduk dalam kerajaan negeri (Selangor) atas mandat Pakatan Rakyat sedangkan kita telah putuskan mandat dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat," katanya.
Pas ujar beliau telah mengkhianati Pakatan Rakyat apabila memutuskan hubungan dengan DAP dan PKR sedangkan semasa kempen pilihan raya umum, kempen dilakukan atas nama Pakatan Rakyat.
"Masa pilihan raya yakinkan rakyat bahawa Pas akan bersama DAP dan PKR tetapi lepas pilihan raya putuskan hubungan," kesal beliau.
Mahfuz turut hairan dengan tindakan Pas untuk terus kekal dalam kerajaan negeri Selangor yag diterajui PKR sedangkan usul yang diluluskan muktamar menyebut bahawa alasan putus hubungan itu disebabkan 'PKR menentang agenda Islam'.
"Saya hairan macam mana Pas boleh duduk dalam kerajaan yang diterajui timbalan presiden parti yang menentang agenda Islam," soal beliau.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegaskan tiada keperluan baginya menyahut cabaran debat Dr Zuhdi kerana tindakan itu akan memalukan Pas dan mendedahkan kecelaruan pemimpin Pas terhadap keputusan yang dibuat parti.
Semalam Dr Zuhdi mencabar Mahfuz yang juga bekas ketua pemuda Pas Pusat untuk berdebat.
Langkah ini kata Zuhdi penting bagi menjernihkan 'kecelaruan' Mahfuz jika benar bekas ketua pemuda Pas itu masih sayangkan parti.
Malah Dr Zuhdi yang menyokong kuat idea perpaduan Pas-Umno melihat ahli parlimen Pas itu semakin galak menjadi 'jurucakap' Pan (Amanah) dan DAP dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan keputusan pucuk pimpinan Pas.
"Beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berselindung di bawah nada 'masih sayang kepada Pas' sedangkan tindakannya jelas untuk menyerang Pas. Dengan serangan-serangan tersebut, beliau sebagai MP Pas diyakini tidak lagi akan membawa mesej parti," tegas Dr Zuhdi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA