Isnin, 31 Julai 2017

DAP dakwa JPPM lengahkan pemilihan semula CEC

Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo berkata, parti itu mahu mengadakan pemilihan semula CEC secepat mungkin kerana bimbang tidak boleh menggunakan logo parti pada PRU14.
gobind-singh-deo-dap-ros-malaysiaKUALA LUMPUR: DAP mendakwa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) melengah-lengahkan maklum balas berhubung isu pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC).
Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo berkata, parti itu masih menunggu maklum balas JPPM selepas menghantar surat kepada jabatan itu pada 21 Julai lalu.
“Kami menerima surat JPPM pada 17 Julai lalu memaklumkan mereka tidak mengiktiraf pemilihan pada 2012 dan pemilihan semula pada 2013, serta mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC.
“Dalam surat itu, JPPM beri beberapa syarat perlu dipenuhi, antaranya melantik badan bebas memantau pelaksanaan pemilihan semula itu. Badan bebas itu perlu mendapat persetujuan JPPM,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata, DAP sudah memilih badan bebas untuk memantau pemilihan semula CEC.
“Disebabkan kami memerlukan persetujuan JPPM berhubung badan bebas itu, kami tidak boleh mengadakan pemilihan semula walaupun mahu ia diadakan secepat mungkin.”
JPPM tidak mengiktiraf pemilihan DAP pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula CEC pada 29 September 2013, ekoran aduan ahli parti itu yang tidak berpuas hati dengan proses pemilihan itu.
Ahli Parlimen Puchong itu berkata, parti itu mahu mengadakan pemilihan semula CEC secepat mungkin kerana bimbang tidak boleh menggunakan logo parti pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Pelik apabila JPPM boleh berjumpa dengan kepimpinan Pakatan Harapan yang merangkumi DAP, tetapi gagal mengadakan pertemuan dengan kami dalam isu pemilihan semula CEC ini.
“Kalau diikutkan, memang kami mahu segera mengadakan pemilihan semula memandangkan PRU14 akan berlaku pada bila-bila masa dan menyebabkan DAP tidak boleh menggunakan logo parti,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA