Rabu, 19 Julai 2017

Dakwaan Perancis rasuah beli Scorpene: SPRM didesak siasat Najib

Pemuda AMANAH Nasional mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terlibat dalam pembelian dua unit kapal selam Scorpene ekoran pendakwaan jenayah salah guna aset awam oleh kerajaan Perancis.
Faiz Fadzil 1Timbalannya, Faiz Fadzil berkata, siasatan SPRM juga perlu melibatkan penganalisis politik yang rapat dengan Najib, Abdul Razak Baginda serta pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkaitan susulan tindakan Perancis mendakwa dua bekas eksekutif kanan di negara itu.
Agence France-Presse (AFP) hari ini melaporkan mereka terbabit adalah bekas pengerusi syarikat DCNI, Phillippe Japiot dan bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pertahanan gergasi Thales, Jean-Paul Perrier.
Menurut Faiz, siasatan berhubung kes itu penting bagi membersihkan nama baik negara memandangkan kes jenayah rasuah tersebut membabitkan dakwaan pembuat kapal selam Perancis itu membayar lebih €114 juta (RM560 juta) sebagai komisen kepada sebuah syarikat kosong yang dikaitkan dengan Razak Baginda.
"Beliau (Najib) adalah Menteri Pertahanan ketika itu. Bayaran komisen yang didakwa tersebut adalah wang rakyat yang sumbernya dipercayai daripada bayaran pembelian kapal selam itu.
"Hubungan rapat di antara Najib Razak dan Razak Baginda menjadi spekulasi umum kerana Razak Baginda dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Atlantuya Shariibuu sedangkan dua orang anggota Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu Sirul dan Azilah yang dituduh sebagai rakan sejenayah (accomplice) telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati," katanya.
Beliau menyifatkan SPRM mempunyai tanggungjawab mempertahankan keluhuran undang-undang dan integriti institusi itu yang pada masa ini gagal bertindak secara telus dan berani untuk menyiasat Najib Razak berhubung skandal mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Tindakan kerajaan Perancis ini hendaklah dipandang serius oleh semua pihak di negara ini yang menunjukkan jenayah rasuah semakin meruncing di bawah pentadbiran Najib Razak.
"Usahlah pula menganggap tindakan kerajaan Perancis ini sebagai campur tangan kuasa asing. Namun, jika SPRM gagal bertindak, maka rakyat dan masyarakat antarabangsa akan menganggap SPRM sudah tiada kuasa," ujarnya.

Lapor AFP, siasatan ke atas Japiot dan Perrier itu dilakukan sejak 2009 susulan aduan yang difailkan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Perancis.
Mengulas lanjut, Faiz berkata, siasatan SPRM perlu disegerakan kerana pendakwaan oleh kerajaan Perancis sekali lagi mencalar maruah negara yang begitu banyak terpalit dengan kes rasuah di peringkat antarabangsa.
"Pemuda AMANAH mendesak satu siasatan menyeluruh, bebas dan adil dijalankan segera agar individu yang terlibat dengan kes rasuah ini dapat dibawa ke muka pengadilan.
"SPRM juga didesak untuk menyiasat berapakah jumlah sebenar wang yang telah diseleweng dalam pembelian kapal selam ini dan mengejar semula wang yang telah dilesapkan ini di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.
"Ini adalah kerana wang rakyat sebanyak AS$1.1 bilion (RM4.7 bilion) telah dibelanjakan dalam pembelian mega ini," tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

1 ulasan:

  1. Percayalah, selagi suspek bernama najib razak dan pm malaysia, sprm tak akan siasat. Jk suspek bukan bernama najib razak atau najib bukan lg pm, barulah sprm akan siasat. Bukan rocket science pun

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA