Isnin, 17 Julai 2017

BOS JASA DAKWA KONSPIRASI DALAM FGV

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Mohd Puad Zarkashi mendakwa wujud konspirasi dalam Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) untuk menyingkirkan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu yang sedang digantung.
Puad mendakwa ia bagi melindungi individu yang sepakat dengan pentadbiran terdahulu, walaupun bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah ditukarkan ke Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Saya mengetahui bahawa terdapat usaha untuk menyalahkan (Datuk) Zakaria Arshad dan memaksa peletakan jawatan atau memecatnya.
“Saya mempersoalkan motif di sebalik ini dan percaya bahawa sesetengah individu dalam kumpulan itu melakukan ini supaya mereka dilihat tidak bersalah,” Puad dipetik sebagai berkata di Batu Pahat hari ini, lapor New Straits Times.
Kemelut melanda FGV selepas ahli lembaga pengarah yang diketuai Mohd Isa, mengarahkan Zakaria meletakkan jawatan kerana didakwa gagal mematuhi peraturan tadbir urus korporat.
Zakaria kemudian mendakwa tindakan terhadapnya diambil selepas beliau cuba menghalang lembaga pengarah daripada membuat pelaburan “tidak masuk akal”. Bagaimanapun, tuduhan itu dinafikan oleh lembaga pengarah FGV.
Perdana menteri Datuk Seri Najik Razak kemudiannya melantik bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala bagi menyelesaikan kemelut itu yang menyaksikan Mohd Isa ditukarkan dan Zakaria berdepan dengan lembaga disiplin.
Puad menegaskan, FGV memerlukan “pembersihan menyeluruh” termasuk penyingkiran ahli lembaga FGV yang sebelum ini dilantik oleh Mohd Isa.
“Oleh itu, saya minta Idris siasat FGV secara menyeluruh berhubugn ‘konspirasi’ ini kerana ia menjadi ancaman kepada masa depan FGV,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA