Isnin, 31 Julai 2017

BN belum tunai janji bina 1 juta rumah mampu milik, kata DAP

Janji membina wejuta rumah mampu milik itu diumumkan 4 tahun lalu.
Wong-Tien-Fatt-perumahan-malaysia DAP mendakwa Barisan Nasional (BN) masih belum membina sejuta rumah mampu milik di seluruh negara seperti yang dijanjikan 4 tahun lalu dalam manifesto pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Ahli Parlimen Sandakan, Wong Tien Fatt berkata kerajaan setakat ini hanya membina kira-kira 240,000 unit rumah mampu milik.
“PRU14 akan diadakan dalam tempoh kurang dari setahun lagi. Berapa unit rumah mampu milik lagi yang kerajaan persekutuan boleh siapkan?
“Bahkan, di Sabah sahaja, hanya 17,665 unit rumah mampu milik disiapkan berbanding sasaran 72,310 unit,” kata Wong kepada wartawan di Parlimen hari ini.
Wong dalam pertanyaan bertulis meminta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar menyatakan bilangan unit rumah mampu milik yang sudah dibina.
Noh dalam jawapannya menyatakan sehingga April lalu, sebanyak 237,738 unit rumah mampu milik sudah disiapkan, dan yakin sasaran sejuta rumah boleh dicapai.
Kedah merupakan negeri tertinggi mencatatkan 72% unit rumah sudah disiapkan, iaitu 42,131 unit diikuti Pahang (14,650) unit rumah.
“Isu rumah merupakan isu kritikal di seluruh negara termasuk Sabah. Rakyat Sabah mempunyai purata pendapatan terendah dalam negara tetapi harga rumah mampu milik sama seperti di Semenanjung.
“Di Sabah juga, masih tidak sampai skim sewa untuk beli rumah. Memandangkan mereka miliki pendapatan rendah, inilah satu-satunya harapan mereka untuk mendapatkan rumah,” kata Wong.
Noh dalam jawapannya menyatakan skim sewa beli rumah hanya ditawarkan khusus untuk pembelian rumah bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) di Gua Musang, Kampung Hassan, Lembah Subang 2 dan Ladang Siliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA