Sabtu, 8 Julai 2017

BILA ANWAR & MAHATHIR SEPAKAT, NAJIB MAKIN TERDESAK


SEBELUM ini saya pernah berkata Putrajaya sekarang berada dalam keadaan panik. Tetapi itu lebih berkait dakwaan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) AS terhadap Jho Low, Riza Aziz dan beberapa individu lain, termasuk dakwaan pembelian rantai berlian bernilai RM117 juta oleh Jho Low yang dihadiahkan kepada “isteri Malaysian Official 1”.
Malam semalam, kita saksikan bagaimana perdana menteri Malaysia sendiri sekarang berada di dalam keadaan panik dan terdesak.
Dua hari lepas, rakyat Malaysia malah juga dunia menyaksikan beberapa langkah yang boleh dibaca sebagai pengukuhan konsensus di pihak pembangkang.
Pertama, berita melaporkan Nurul Izzah Anwar bertemu – atau beraya – dengan Dr Mahathir Mohamad di London. Kedua, Dr Mahathir dalam akhbar tersohor The Guardian berkata beliau sokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Politik adalah persepsi. Dua laporan berita ini sudah pasti memperlihatkan kesepakatan Anwar dan Dr Mahathir, dan ini menjadi bukti pergerakan pihak pembangkang semakin teratur hari demi hari, langkah demi langkah.
Ini membuatkan Najib bukan saja semakin panik malah semakin terdesak. Bukti pertama adalah kenyataan media beliau lewat malam tadi yang diterbitkan hanya dalam Bahasa Inggeris dan bukannya Bahasa Malaysia.
Dalam politik, ini bukan perkara kecil kerana nampaknya ia serupa kenyataan media setiausaha akhbar perdana menteri pada lewat malam 3 Julai lalu yang juga hanya ditulis dalam Bahasa Inggeris. Ia mungkin bermakna tujuan kenyataan ini ditulis untuk pembaca yang fasih Bahasa Inggeris. Atau yang menyediakan drafnya adalah orang yang fasih di dalam Bahasa Inggeris.
Berbalik kepada isu Putrajaya panik dan terdesak.
Maka dari sudut pandang ini, amatlah tidak memeranjatkan bila Pendaftar Pertubuhan (RoS) semalam mengumumkan DAP perlu mengadakan semula pemilihan parti bagi penggal 2013-2016. Pengumuman ini difirasat setiausaha akhbar perdana menteri pada 3 Julai lalu, di mana saya sebut sebelum ini kenyataan itu membayangkan “tangan-tangan ghaib” akan mempengaruhi RoS dalam isu ini.

Dan jika Najib dalam perenggan ketiga kenyataan Bahasa Inggeris tersebut berkata sebuah Suruhanjaya Diraja (RCI) mungkin membawa kepada suatu “pendakwaan jenayah”, maka sama seperti isu RoS-DAP, tidak mustahil perkara yang difirasat Najib menjadi realiti demi menempangkan pembangkang menuju PRU14.
Tetapi bagi ramai pimpinan yang sudah lama di dalam pembangkang, ugutan politik sebegini asam garam perjuangan. Ia hanya menampakkan sikap panik dan terdesak sebuah rejim yang tidak kisah mengenai demokrasi dan hanya mementingkan kelompok sendiri.
Rakyat dapat melihat pimpinan Umno-BN yang panik dan terdesak ini sekarang dengan terang-terangan menggunakan semua yang ada di tangan mereka untuk membuli pembangkang.
Tapi jangan lupa, rakyat benci pembuli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA