Jumaat, 28 Julai 2017

Betul, kerajaan tak tau undi penjawat awam, kata Nur Jazlan


Betul, kerajaan tak tau undi penjawat awam, kata Nur Jazlan
Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed berkata undi rakyat Malaysia adalah rahsia termasuk undi penjawat awam. 
UNDI rakyat Malaysia sememangnya rahsia termasuk penjawat awam, kata Nur Jazlan Mohamed sebagai menjawab kenyataan Dr Mahathir Mohamad semalam yang mengatakan pegawai kerajaan tidak perlu takut untuk mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Timbalan menteri dalam negeri itu berkata Putrajaya hanya boleh mengenal pasti sikap pengundi tetapi tidak mengetahui undi mereka kerana undi adalah rahsia.
“Tidak ada manfaat kepada Barisan Nasional (BN) pun untuk hukum siapa yang tak undi kita kerana kita mahu mereka memahami perjuangan BN,” katanya yang juga ahli Parlimen Pulai kepada The Malaysian Insight.
Nur Jazlan berkata ini dapat dibuktikan dengan keputusan PRU12 dan PRU13 yang menyaksikan pembangkang memenangi banyak kerusi Parlimen dan beberapa negeri.
“Kalau kerajaan boleh tahu siapa yang tak undi BN masa PRU pada 2008 dan 2013, dan ramai pegawai kerajaan disyaki tak undi BN, maka ramai pegawai kerajaan dikenakan tindakan negatif kerana tidak mengundi BN,” katanya.
Semalam, Dr Mahathir yang merupakan bekas perdana menteri paling lama berkhidmat dan pernah mengetuai BN untuk memenangi lima pilihan raya umum dengan majoriti dua pertiga memberi jaminan kepada pegawai kerajaan “undi adalah rahsia.”
"Sebenarnya kerajaan tidak akan dapat tahu siapa mengundi bagi siapa.
"Mungkin ramai yang akan takut. Jika tak undi kerajaan tindakan akan diambil terhadap mereka," katanya.
Dr Mahathir berkata semasa beliau menjadi perdana menteri dulu, beliau juga tidak tahu tentang perkara ini.
"Sebab itu ramai yang bermusuh dengan saya dapat jawatan. Dapat jadi menteri," katanya.
Menurut Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) terdapat 500,000 penjawat awam di Malaysia pada ketika ini.
Timbalan Presiden Cuepacs Zainal Ismail berkata setakat ini apa yang beliau tahu ialah undi penjawat awam adalah rahsia.

Beliau berkata penjawat awam pada hari ini juga bijak memilih dalam pilihan raya.
“Dalam Cuepacs, kita tak pernah paksa penjawat awam untuk undi sesiapa. Mereka bebas untuk memilih.
“Selepas pilihan raya, kita akan menyokong ‘government of the day’. Jika ada pihak tertentu boleh tahu undi penjawat awam, itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Zainal berkata keutamaan Cuepacs pada hari ini agar kerajaan mengambil berat kebajikan penjawat awam.
“Hari ini kos kehidupan meningkat dengan begitu tinggi. Semua barang jadi mahal.
“Tetapi gaji kami penjawat awam masih lagi tak naik-naik. Kami tidak berniat untuk mengugut kerajaan tetapi ambil kiralah juga nasib penjawat awam,” katanya.

3 ulasan:

  1. Tapi spr boleh cek jika mahu. Kuasa di tangan spr.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul. Klu kerajaan ada motif tertentu utk korek maklumat ttg siapa seorg individu mengundi, dia boleh cari

      Padam
  2. Undi mejang tidak dapat dikesan, kerana walaupun kertas undi ada nombor siri, tetapi ejen parti tidak tahu buku undi mana yang digunakan dahulu, pemberian kertas undi berdasarkan nombor siri kertas undi dalam buku undi, tidak senestinya buku yang mempunyai nombor siri paling awal digunakan dahulu.

    Pengalaman saya sebagai petugas pilihan raya, jadi kakitangan awam jangan takut undi pakatan harapan, kerans bn bukannya tau anda undi apa.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA