Jumaat, 14 Julai 2017

BERUBAH ATAU TERUS LELAH?

 
Apa yang harus kita sedar, insaf dan faham betul-betul di bawah kepimpinan Najib Razak ini ialah persoalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan begitu banyak sekali diperkatakan berbanding era sebelumnya.
Dan sudah tentu isu berkaitan 1MDB, dana RM2,600 juta yang didakwa sebagai derma dan wang RM42 juta daripada SRC International yang kononnya tidak disedari kemasukannya, adalah paling kerap sekali menjadi bahan bual bicara.
Rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan itu tidak saja diperbualkan di kalangan masyarakat kita sendiri atau di peringkat antarabangsa, malah sehingga Sultan dan Raja pun turut memperkatakannya.
Yang Dipertuan Agong menzahirkan dukacita Baginda mengenai perkara itu ketika menyampaikan ucapan di mesyuarat pengal pertama Parlimen pada 6 Mac 2017 yang lalu.
Sebelum itu, Sultan Perak juga pernah meluahkan kebimbangan Baginda terhadap gejala rasuah dan pecah amanah yang dilakukan secara terbuka oleh golongan berjawatan dan berpendidikan tinggi.
Baru-baru ini, Tunku Mahkota Johor menulis warkah terbuka yang antara lain menyebut, “Pada hari ini saya berada di sebuah negara di mana rasuah telah menjadi sebuah budaya” dan “Sebuah negara di mana media melindungi rasuah dan menjadikan orang-orang yang tidak bersalah sebagai mangsa untuk menjual cerita.”
Pernahkah di mana-mana era kepimpinan sebelum ini di mana sampai tiga Sultan dan Raja pernah bangkit bersuara mengenai rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan?
Kenapa ia hanya berlaku di era Najib ini saja?
Sebagai payung kepada semua rakyat jelata, apakah kita harus bersikap “tidak apa” atau “biarkan saja” terhadap semua luahan dukacita oleh Sultan dan Raja itu?
Pilihan di tangan kita – ubah atau kita akan terus lelah?

1 ulasan:

  1. Memang rakyatpun setuju. masalah utama yg negara hadapi skrg ialah masalah rasuah yg berleluasa seolah² sudah tidak mampu dibendung kerajaan. Saya ingin mencadangkan agar, sprm diletak di bawah pengawasan parlimen agar ianya bebas, bertindak dan insyaallah akan menakutkan pemberi dan penerima rasuah.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA