Selasa, 11 Julai 2017

BERSIH mahu kabinet bicangkan persempadanan semula SPR

Pertubuhan pendesak pembaharuan pilihan raya, BERSIH, menggesa kabinet membincangkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa mereka melakukan persempadanan semula melalui 'pintu belakang' dan mungkin menjejaskan hasil pilihan raya akan datang.
Mesej itu disampaikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low, dalam pertemuan di antara kedua-dua pihak hari ini.
Merujuk kepada persempadanan semula yang kontroversi di Kuala Kubu Bharu, Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, berkata SPR mendakwa apa yang terjadi adalah "kesilapan urusan pentadbiran yang membetulkan sempadan".
Bagaimanapun kata Maria amalan itu sepatutnya tidak dibenarkan dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Katanya, BERSIH mendapati amalan serupa turut berlaku di setiap negeri.
"Ini menyalahi perlembagaan. Justeru kami sedang membincangkan kemungkinan mengambil tindakan undang-undang dengan peguam," katanya kepada Malaysiakini.
Maria menambah, BERSIH mungkin akan mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bulan depan bagi membolehkan suatu siasatan dibuat.
Katanya, ia adalah satu daripada sembilan isu pembaharuan pilihan raya yang dibangkitkan kepada Low.
Isu lain yang dibincangkan hari ini termasuk 28,000 pengundi tentera, kerajaan sementara dan keperluan SPR yang lebih bebas.
"Perbincangan berlangsung dengan baik. Kami berbincang mengenai pembaharuan yang kami mahu kerajaan lakukan.
"Ada banyak salah laku yang mungkin memberi kesan kepada keputusan pilihan raya umum ke-14," katanya.
Walaupun mendakwa Low tidak menunjukkan komitmen yang diharapkan, Maria berkata, menteri terbabit berjanji untuk membangkitkan isu yang dibincangkan itu kepada pihak yang berkaitan, termasuk Suhakam dan SPR.
"Beliau berkata, pandangan kami akan diajukan kepada pihak yang berkaitan.
"BERSIH juga bertanya sama ada beliau boleh membawanya kepada kabinet. Beliau berkata, beliau akan mencuba sebaik mungkin," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA