Isnin, 31 Julai 2017

Bersih bidas SPR gagal siasat dakwaan 7,000 pengundi baru Jamal Yunos


Bersih bidas SPR gagal siasat dakwaan 7,000 pengundi baru Jamal Yunos
Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Jamal Md Yunos mendakwa memperolehi 7,000 pengundi baru luar untuk mengundi di Sekinchan. 
PEMERHATI pilihan raya Bersih 2.0 mengecam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana gagal bertindak terhadap manipulasi senarai pemilih, berikutan dakwaan ketua pergerakan baju merah, Jamal Md Yunus yang beliau mempunyai 7,000 pengundi baru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan.
Bersih berkata SPR bersekongkol dengan ahli politik yang "menipu" untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.
"Selagi SPR terus gagal melindungi hak demokratik rakyat bagi pilihan raya yang adil, satu-satunya kesimpulan yang boleh dibuat adalah mereka bekerjasama dengan pihak tidak bertanggungjawab untuk membantu mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 walaupun hari pembuangan undi," kata jawatankuasa pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini.
Jamal, pemimpin Umno Bahagian Sungai Besar, memberitahu mesyuarat Pemuda Umno Subang pada malam Ahad yang beliau berusaha membawa pengundi ke kawasan kecil dan menamakan Sekinchan di Selangor, di mana beliau mengakui mempunyai 7,000 pengundi baru.
"Kita susun (dan) rangka balik supaya DUN (Subang) kita tambah pengundi, kita pindahkan pengundi dengan apa cara pun walau melibatkan kos berjuta ringgit," katanya.
Bersih hari ini menuntut agar SPR mengambil langkah segera bagi menghentikan manipulasi terhadap senarai pemilih.
"Sekarang, para pemimpin politik boleh secara terbuka mengakui menipu bagi memenangi pilihan raya tanpa sebarang respons daripada SPR," kata gabungan pertubuhan bukan kerajaan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA