Isnin, 24 Julai 2017

Bersatu pertaruhkan lebih calon muda hadapi PRU-14



Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan lebih mengutamakan calon muda untuk menduduki kerusi Parlimen dan Dun mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke -14 akan datang.
Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ia selari dengan keahlian 55 peratus golongan muda yang berminat menyertai parti itu sejak ditubuhkan pada September tahun lalu.
"Melihat kepada keahlian parti, kita ramai golongan muda iaitu 55 peratus yang berusia 35 tahun ke bawah. Kita akan lebih tertarik kepada calon muda mewakili parti ini.
"Sebagai parti baharu kita mempunyai ruang untuk membuat keputusan (pilih calon) tidak terhad kepada mereka yang ada jawatan dalam parti kerana ia tidak menjamin mereka dipilih sebagai calon.
Mukhriz Mahathir "Orang muda yang lansung orang tak kenal pun tak apa, tiada masalah apa-apa, tidak mencemarkan nama baik parti," ujarnya kepada Malayasia Dateline.
Tanpa mahu mendedahkan jumlah sebenar keahlian Bersatu seluruh negeri, Mukhriz yang juga Pengerusi Perhubungan Bersatu Negeri Kedah  itu  hanya berkata, sejak parti itu ditubuhkan Kedah adalah  negeri paling ramai ahli Bersatu.
Mukhriz turut menjelaskan jika parti itu meletakkan lebih ramai calon dikalangan yang berpengalaman berkemungkinan akan menimbulkan konflik sebagai calon yang bertanding.
"Jika buat pilihan orang yang berpengalaman tetapi mereka tercalar pula dari segi reputasi dan sebagainya, saya taklah kata semua.
"Kita tahu dalam Umno memang banyak (ahli) begitu, berpengalaman nama yang dikaitkan pelbagai isu.
"Kita amat berhati-hati memilih calon dikalangan yang berpengalaman," ujarnya.
Beliau mengatakan keahlian yang pelbagai latarbelakang dan parti, memberi ruang kepada pimpinan untuk memilih calon bertanding.
"Keahlian memang pelbagai ada daripada orang terpelajar, ahli perniagaan, ahli korporat, bekas pegawai kerajaan selain orang politik dan orang yang tak pernah terlibat dalam parti.
"Daripada situ kita sudah banyak pilihan untuk meletakan calon-calon yang akan bertanding," ujarnya.
Mukhriz  turut berkata, beliau tidak menolak kebarangkalian Bersatu sedia memberi peluang kepada bekas ahli parti lain sebagai calon.

"Di Sik sahaja lebih 200 orang ahli Pas yang menyertai PPBM, saya tidak menolak kita boleh lihat juga, dari segi calon boleh menang di kawasan itu," ujar Adun tunggal di kerusi Ayer Itam yang mewakili Bersatu ini.
Difahamkan juga dalam menghadapi PRU14,  Bersatu kini sedang bersiap siaga dengan jentera pilihan raya dengan mengadakan kursus dikalangan ahli disemua peringkat.
Selain menyusun gerak kerja terperinci terutama di kerusi Parlimen dan Dun yang akan diperuntukan kepada calon Bersatu oleh Pakatan Harapan kelak.
Dalam tempoh terdekat ini parti itu juga sedang merancang untuk menyambut ulang tahun pertama parti itu pada 8 September depan.
Jelajah Semarak yang dimulakan pada Mei lalu akan diteruskan kerana difahamkan sambutan rakyat terhadap Bersatui kini akan dapat menarik lebih ramai ahli sebelum menjelangnya pilihan raya.
Bersatu juga turut mengadakan 'town hall session' untuk memberikan pandangan parti  dalam isu-isu penting yang dihadapi negara dan  mendengar pandangan orang ramai untuk digunakan sebagai input manisfesto daripada parti itu yang akan dibincangkan bersama dalam Pakatan Harapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA