Rabu, 26 Julai 2017

Benarkah negara selamat bila umat Islam memimpin?

Sejarah yang direkodkan sarjana Islam sendiri menceritakan kepincangan kerajaan yang diterajui umat Islam.
Abdul-Hadi-Awang-putrajaya-pejabat-perdana-menteri
Kenyataan presiden PAS baru-baru ini amatlah menghairankan. Setelah lebih 30 tahun Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan amanatnya yang menentang Umno, kini beliau menyatakan negara akan selamat jika dipimpin orang Islam!
Mengapa “umat Islam”? Kerana PAS tiada harapan langsung untuk menjadi parti pemerintah. Kerana sebab-sebab yang tertentu, Hadi menerima pemerintahan Umno yang selama ini ditentang sekeras-kerasnya.
Itu adalah pilihannya yang kita perlu akur tetapi adakah kenyataannya itu benar? Adakah sesebuah negara itu selamat apabila dipimpin oleh umat Islam?
Untuk menguji sama ada kenyataan itu benar atau tidak, kita hanya perlu melihat sejarah Islam. Perlu diingat, sejarah Islam ini bukanlah daripada orientalis, tetapi daripada sarjana Islam sendiri.
Menurut sirah Nabi, sejak daripada mula, Nabi Muhammad diserang dan terpaksa mempertahankan diri dan negara Islam Madinah. Namun begitu, apabila wafat, hampir keseluruhan Semenanjung Arab menjadi rakan setia negaranya.
Ya, dengan kemimpinan Nabi Muhammad, keselamatan dijamin.
Namun begitu, apabila baginda wafat dan kepimpinan negara Islam jatuh ke tangan Khulafa Ar-Rasyidin, prinsip ini mula bertukar. Menurut sejarah Islam sendiri, Abu Bakar As-Siddiq telah memulakan gerakan “Ar-Riddah” di mana negara Islam memulakan perang dengan puak Arab yang dituduh murtad, walaupun ia bukan prinsip Al-Quran yang menekankan “tiada paksaan dalam agama” (Surah Al-Baqarah, Ayat 256). Mengapa Abu Bakar yang diredhai Tuhan (seperti dikatakan Surah At-Tawbah, ayat 100) boleh melakukan sedemikian, tetapi itulah yang diceritakan sejarah Islam sendiri.
Selepas itu, tiba pula kemimpinan Umar Al-Khattab. Umar sekurang-kurangnya mempunyai sebab untuk menjajah negara lain iaitu untuk membebaskan puak yang ditindas pemerintah. Tetapi adakah negara Islam sendiri selamat? Sukar untuk dijawab kerana Umar sendiri telah dibunuh! Bagaimana negara boleh dikatakan selamat kalau ketuanya sendiri dibunuh?
Zaman khalifah yang ke-3 dan ke-4, iaitu Uthman ibn Affan dan Ali ibn Abi Talib mengalami masalah yang serius semasa pemerintahan mereka. Uthman dituduh mengamalkan nepotisme semasa pemerintahannya dan cara dia dibunuh amatlah menyedihkan, dikepong dan dikerumuni umat Islam selama beberapa hari di rumahnya, sehinggalah mereka menceroboh masuk dan membunuhnya dengan memenggal kepalanya. Ini juga menurut sejarah Islam.

Dalam kes Ali, kepimpinannya menghadapi masalah sejak awal sehinggalah peristiwa pembunuhannya. Semasa pemerintahannya, dia ditentang Muawiyah ibn Abi Sufyan yang mahu menjadi khalifah. Ali terpaksa berdepan dengan umat Islam sendiri seperti dalam peperangan Jamal dan Siffin.
Dalam peperangan Jamal, Ali terpaksa berperang dengan sahabat Nabi yang agak senior iaitu Zubayr ibn Al-Awwam dan Talha ibn Ubaydullah. Bukan itu sahaja, malah Aishah, isteri Nabi sendiri menyertai perang ini.
Bayangkan, kesemua sahabat ini diredhai Allah seperti yang difirmankan ayat di atas, tetapi mereka semua berperang sesama sendiri!
Selepas zaman 4 sahabat ini, pemerintahan khilafah bertukar menjadi sistem beraja mutlak bermula dengan khalifah Umayyah. Menurut sejarah mereka sendiri, kebanyakan mereka menggunakan empayar Islam untuk kepentingan mereka sendiri. Dalam masa kurang 100 tahun, mereka digulingkan oleh Abu Abbas As-Saffah dalam pemberontakan berdarah. Abu Abbas memulakan dinasti Abbasiyah yang memerintah selama 500 tahun.
Walaupun ia masa yang lama, tetapi ini adalah kerana empayar tersebut berpecah dan beberapa kerajaan Islam muncul (seperti kerajaan Umayyad di Sepanyol dan kerajaan Fatimiyah di Mesir). Khilafah Abbasiyah lenyap selepas ditewaskan tentera Mongol pada 1258.
Begitu juga juga dengan empayar zaman pra-moden Uthmaniyah Turki dan Mughal di India. Pemerintahan mereka penuh dengan peperangan sesama sendiri untuk mewarisi takhta pemerintahan.
Bukan sahaja itu, kedua-dua empayar berperang dengan kuasa-kuasa besar dan kalah. Dalam kes Mughal, ia diserap ke dalam empayar British. Dalam kes Uthmaniyah, ia menjadi negara sekular moden.
Jadi, bagaimanakah Hadi boleh membuat kenyataannya? Bila masa sesuatu negara itu selamat apabila dipimpin orang Islam?
Kita perlu mengasingkan prinsip Islam dan orang Islam. Orang Islam tidak semestinya mengamalkan prinsip Islam. Lihatlah negara kita, walaupun sarat dengan “Islamisasi” di mana budaya tempatan dipengaruhi kononnya budaya Islam, kita masih berpegang kepada keistimewaan sesebuah kaum. Mengapa prinsip Islam yang memperjuangkan keadilan sosial terus dibelakangkan dan secara terang-terang melanggar amaran Al-Quran?
Orang Islam tidak semestinya mengamalkan Islam. Hadi sepatutnya tahu apabila dia membuang amanatnya sendiri dan menyokong parti yang dikecamnya selama 30 tahun lebih.

3 ulasan:

  1. Dah terlebih makan ubat. haha

    BalasPadam
  2. Sbb yg sebenornyer Tuang Presideng..ni memang suka syok sendiri.....kat Malayasia nie...diperintah oleh kerajaan penyamung umno/bn......yg memakai topeng islam dan assobiyah......

    BalasPadam
  3. Penulis juga kena bijak mengupas isi dan pemahaman yg tinggi berkenaan sejarah dalam kefahaman islam..

    Artikel diatas dilihat berat sebelah dan menghentam islam keseluruhan nya..penulis hanya memperincikan ttg kepincangan dlm pentadbiran dari pelbagai pemerintahan khalifah islam tanpa menyebut hikmah dan makna disebalik kisah..

    Penulis juga begitu licik memutar ayat seolah tidak ada kesepakatan langsung dlm islam..ini jelas menunjukkan penulis tidak mendalami islam secara dasar dan merendahkan islam..
    Penulis perlu mengakui bahawa sarjana barat sendiri mengagumi kehebatan empayar islam yg dikekalkan beratus tahun..sistem pemerintahan,politik berteraskan islam sebenar..
    Persoalan disini adakah penerbit artikel ini ada dendam peribadi terhadap islam sehingga mengeluarkan artikel emosional sebegini..
    Cuma ideologi politik pascamoden PAS sahaja yg agak pelik..atas kesilapan pemimpin..habis semua terpalit sama..

    Penulis perlu lebih peka dan berhati2..perlu tahu membezakan..

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA