Rabu, 19 Julai 2017

Bayangan Najib tolak cabaran debat Mahathir

Setiausaha akhbar perdana menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad memberi bayangan cabaran debat Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap bosnya Datuk Seri Najib Razak tidak akan menjadi kenyataan.
Tanpa memberikan kata putus jelas, Tengku Sariffuddin mengingatkan, sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri, acara sebegitu tidak pernah berlaku di era Mahathir.
“Dr Mahathir Mohamad tidak pernah mengadakan debat town hall bersama musuh-musuh politiknya selama 22 tahun beliau menjadi perdana menteri,” katanya ringkas.
Beliau bagaimanapun tidak menghuraikan lanjut perkara itu.

Dalam kenyataannya di Facebook Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, Tengku Sariffuddin bagaimanapun banyak mengulas isu lain, terutamanya kedudukan Mahathir dalam Pakatan Harapan.
Mahathir pada 14 Julai lalu mencabar Najib berbalas hujah dengannya dalam satu pentas, dalam acara bertajuk “Nothing to Hide 2.0”, pada tempat dan tarikh yang belum diumumkan.
Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 11 Jun lalu mengumumkan acara itu yang pada mulanya dirancang diadakan pada hujung bulan lepas.
Pada 5 Jun tahun lepas, Mahathir mencuri perhatian apabila hadir ke acara Nothing to Hide di ibu negara yang pada mulanya dilihat bakal mempertembungkannya dengan Najib.
Najib tidak hadir ke acara dialog itu dan polis memberikan alasan keselamatan. Mahathir juga diberhentikan ketika sedang berucap dan diiring keluar oleh pihak berkuasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA