Rabu, 12 Julai 2017

‘Badan kehakiman nampak terpalit lumpur semula’ - Tun Abdul Hamid

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana mengeluarkan
kenyataan untuk menjelaskan mengenai perlantikan Tan Sri Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan setelah mereka mencapai umur 66 than enam bulan.
Raus (foto, kanan) telah dilantik bagi tempoh tiga tahun dan “terus memegang jawatan Ketua Hakim yang disandangnya bagi tempoh yang sama”. Zulkefli telah dilantik bagi tempoh dua tahun “dan terus memegang jawatan Presiden Mahkamah Rayuan bagi tempoh yang sama”.
Kenyataan itu mengesahkan bahawa mereka hanya dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan.
Maksudnya, mereka bukan dilantik semula sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Jika demikian, pada pandangan saya, mereka sepatutnya hanya menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan dan tidak lebih daripada itu kerana:
1. mereka dilantik untuk jawatan itu; dan
2. perlantikan mereka sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, masing-masing, telah luput apabila mereka mencapai umur 66 tahun 6 bulan (termasuk perlanjutan mengikut Perkara 125(1)).
Saya terima bahawa mereka dilantik sebagai hakim tambahan atas nasihat Ketua Hakim Negara terdahulu.
Siapa akan percaya?
Walau bagaimanapun, siapa akan percaya bahawa tidak ada sebarang persefahaman terlebih dahulu antara Ketua Hakim Negara yang terdahulu dengan perdana menteri (dengan persetujuan Raus dan Zulkefli bahawa tujuan Ketua Hakim Negara terdahulu itu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melantik kedua-dua mereka itu sebagai hakim tambahan adalah untuk membolehkan mereka terus menyandang jawatan masing-masing sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Jika tidak, adalah tidak munasabah bagi Raus dan Zulkefli (foto, kiri) untuk terus berkhidmat dengan jawatan yang lebih rendah daripada jawatan yang disandang sebelum mereka bersara.
Saya tekankan, itu bukanlah tujuan Perkara 122(1A). Tujuan Perkara 122(1A) hanyalah untuk melantik hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan dan itu sahaja.
Segala perkara yang saya bangkitkan dalam artikel saya bertarikh 6 Mei 2017 masih relevan.
Pada pandangan saya, perlantikan Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan dan terus memegang jawatan yang disandang oleh mereka, masing-masing itu, bukanlah suatu tindakan yang bijak.

Tindakan tersebut menampakkan seolah-olah kerajaan Malaysia, dalam keadaan politik di Malaysia sekarang ini, mahu mereka terus menyandang jawatan-jawatan mereka masing-masing.
Adalah amat sukar bagi kerajaan Malaysia untuk menolak persepsi awam bahawa kerajaan Malaysia sedang membuat persediaan untuk mempunyai mahkamah yang pro-kerajaan jika terdapat perkara-perkara/kes-kes terhadapnya dalam tempoh itu.
Campur tangan politik
Ini tidak membantu kerajaan Malaysia untuk menunjukkan kepada masyarakat awam bahawa ia sebuah kerajaan yang telus.
Malah, ia menampakkan terlalu banyak campur tangan politik seperti yang berlaku di era Tun Mahathir yang kekal sebagai satu titik hitam dalam sejarah Malaysia secara am dan Badan Kehakiman secara khusus.
Bagi hakim-hakim itu pula, mereka nampak seolah-olah telah berkompromi dalam hal kebebasan mereka dengan terus memegang jawatan-jawatan tersebut. Bahawa ia berlaku di penghujung kerjaya mereka, yang sebelum ini mereka dilihat sebagai bebas, sangatlah mendukacitakan.
Bagi Badan Kehakiman pula, setelah imejnya bertambah baik dalam tempoh satu dekad kebelakangan ini, ia nampak terpalit lumpur semula.
Seolah-olah untuk memastikan perlanjutan jawatan-jawatan mereka itu sah, secara alternatif, kenyataan itu berkata bahawa Kerajaan Malaysia sedang menimbang cadangan untuk dibentangkan di Parlimen bagi menaikkan umur persaraan hakimhakim mahkamah tertinggi kepada 70 tahun.
Bukan tindakan bijak
Jika kerajaan Malaysia boleh mendapat sokongan dua pertiga di setiap Dewan Parlimen, pindaan itu mungkin dapat menyelesaikan masalah perlanjutan jawatan mereka jika tarikh penguatkuasaan pindaan itu bermula selepas persaraan Tun Arifin Zakaria dan sebelum Raus dan Zulkefli mencapai umur 66 tahun 6 bulan.
Walau bagaimanapun, dengan berkuatkuasanya pindaan itu pun, selagi Perkara 122(1A) dibaca seperti yang tersebut dalam kenyataan itu, perkara yang sama boleh berulang: seorang Ketua Hakim Negara boleh dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan selepas beliau mencapai umur 70 tahun 6 bulan dan boleh “terus memegang jawatannya” bagi tempoh yang sama.
Kerajaan Malaysia boleh memilih untuk meneruskan perkhidmatan dan menghentikan perkhidmatan sesiapa sahaja.
Dalam hal ini pun, tempoh Raus “diteruskan” selama tiga tahun manakala bagi Zulkefli hanya dua tahun. Apakah kriteria untuk perlantikan tersebut?

Kesesuaian menaikkan tarikh persaraan itu juga perlu ditimbang dengan teliti dalam konteks Malaysia.
Janganlah kerana perlanjutan umur persaraan bagi hakim-hakim dilaksanakan di negara-negara lain, kita juga hendak melaksanakan di negara kita atau kita mengikutinya.
Pada pandangan saya, tindakan kerajaan Malaysia untuk meneruskan perkhidmatan kedua-dua hakim kanan itu, dengan cara ia dilakukan itu, bukanlah suatu tindakan yang bijak.
Ia tidak baik untuk imej kerajaan Malaysia, tidak baik untuk imej Badan Kehakiman dan tidak baik juga untuk integriti hakim-hakim berkenaan. Ia menimbulkan ketidakpastian di kalangan hakim-hakim yang lain. Ia tidak sepatutnya dilakukan, apatah lagi diulangi.

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA