Jumaat, 14 Julai 2017

Azmin: Pelantikan Mahathir sebagai Pengerusi signifikan dengan pengukuhan PH

Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan disambut baik Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan malam tadi berkata, keputusan konsensus itu amat signifikan dengan pengukuhan dan hala tuju Pakatan Harapan.
"Saya mengucapkan tahniah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas perlantikan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan setelah mendapat sokongan yang padu daripada semua anggota Pakatan Harapan.
"Perlantikan ini adalah amat signifikan kepada pengukuhan Pakatan Harapan serta memberi hala tuju, fokus dan kepimpinan dalam muafakat ini menjelang Pilihan Raya Umum ke 14.
"Saya percaya perkembangan ini akan menamatkan spekulasi dan persoalan tentang perpaduan dan muafakat Pakatan Harapan dalam mendepani pilihan raya dan melaksanakan aspirasi rakyat," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut berkeyakinan dan mengikrarkan sokongan serta komitmennya kepada bekas perdana menteri itu.
"Saya berkeyakinan dan mengikrarkan sokongan serta komitmen saya kepada kepimpinan Tun Dr. Mahathir untuk terus merealisasikan matlamat perjuangan menuju Putrajaya," ujarnya.
Semalam Majlis Presiden Pakatan Harapan mengumumkan struktur kepimpinan dan logo Pakatan Harapan.
Turut hadir semua kepimpinan kanan parti-parti gabungan dalam Pakatan Harapan yang dianggotai PKR,DAP,Amanah dan Bersatu.

1 ulasan:

  1. Gandingan mahadir anwar lim kit siang adalah terbaik untuk malaysia baru.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA