Rabu, 12 Julai 2017

Azmin kata Noh 'cicak mengkarung'

Bukan tandingan - itu penilaian Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, terhadap Tan Sri Noh Omar yang mencabarnya bertanding di Tanjung Karang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Menegaskan lawan yang diidamkan olehnya ialah Datuk Seri Najib Razak, Azmin sebaliknya berkata Noh cuma "cicak mengkarung".
"Lawan saya ialah Najib. Siapalah Noh ini.
"Ini cicak mengkarung saja. Saya nak lawan, saya kena lawan dengan Najiblah," katanya kepada media selepas menghadiri majlis rumah terbuka hari raya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini.
Pada 7 Julai lalu Noh yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor menasihati Azmin supaya melupakan hasratnya untuk bertanding di Pekan dalam PRU ke-14 nanti.
Pekan adalah kerusi diwakili Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Sehari sebelum itu Azmin menafikan khabar mendakwa beliau sedang mengintai kerusi parlimen Ampang untuk ditandingi pada PRU akan datang.
Timbalan presiden PKR itu sebaliknya menyatakan kerusi pilihannya - jika ditakdirkan berpindah dari Gombak yang diwakilinya ketika ini - ialah Pekan.
"Saya dah sebut hari tu, saya tak minat dengan (kerusi) Ampang.
"Kalau perlu saya beralih, saya minat dengan Pekan," katanya dilaporkan Sinar Online.
Noh berkata tidak ada sebab mengapa Azmin perlu pergi ke Pekan, Pahang yang jauh dari Selangor.
"Dia (Azmin) menteri besar Selangor. Mengapa nak ke Pekan? Dia boleh bertanding di seluruh Selangor. Saya sedia menunggu Azmin untuk datang ke Tanjung Karang," katanya.
Untuk rekod, Noh adalah anggota parlimen Tanjung Karang dan dilantik Najib sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Jun 2016.
Azmin berkata buat masa ini beliau tidak ada niat untuk meninggalkan kerusi parlimen Gombak kerana kawasan itu adalah kubunya.
"Tapi kalau ada pandangan untuk saya berhijrah ke kawasan lain atas sebab strategi, saya memilih Pekanlah," katanya yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa.

1 ulasan:

  1. Klu nk tgok berani dan ada sokongan, Noh kena keluar dr Tg Karang dn btanding lwn Azmin dGelang Patah. Br jantan...ni nk ajak lwn kat kubu sendiri...tu namanya kecut..

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA