Selasa, 25 Julai 2017

ANAK: Hutang terlalu banyak, insentif tak selesai derita peneroka

Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata, beban hutang yang ditanggung peneroka yang memilih untuk menanam semula melalui Felda menghampiri RM170,000.
mazlan-anak-felda-3
PETALING JAYA: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) berkata, insentif pelupusan hutang tanam semula sebanyak RM5,000 bagi setiap peneroka yang layak, tidak dapat menyelesaikan “penderitaan dan kesengsaraan” mereka yang dibebani hutang terlalu banyak.
Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, hutang terkumpul setiap peneroka yang memilih untuk menanam semula melalui Felda melebihi RM100,000.
“Isu timbunan hutang peneroka adalah sesuatu yang diketahui umum. Jumlahnya bukan sahaja mencecah RM100,000 seperti disebut bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kota Tinggi pada 15 julai lalu, bahkan ANAK boleh buktikan di sesetengah Felda sedang menghampiri RM170,000.
“Apabila hutangnya besar, tempoh membayar balik memakan masa hingga 20 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan berkata, belum sempat peneroka menarik nafas lega daripada bebanan hutang, proses menanam semula bermula dan mereka terpaksa menanggung hutang baru akibat membuat pinjaman sara hidup RM1,000 hingga RM1,500 sebulan selama 7 hingga 8 tahun.
Beliau berkata, gesaan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad untuk kembali menyokong dan bekerjasama dengan Felda tidak berkesan, selagi isu hutang dan pendapatan peneroka tidak ditangani secara menyeluruh melalui mekanisme betul.
“Adakah Tan Sri Shahrir maklum, ada kes yang diadukan kepada saya, berserta penyata dilampirkan, ada peneroka yang terpaksa menanggung kos faedah atas pinjaman sahaja bernilai RM47,000,” katanya.
Ahad lalu, Najib mengumumkan 6 insentif untuk peneroka dan warga Felda dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

Antaranya pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih menanam semula melalui Felda, membabitkan peruntukan RM519 juta dan pelupusan sebahagian baki pinjaman saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) untuk 77,934 peneroka dengan baki pinjaman pada kadar ringgit ke ringgit.
Perdana menteri berkata, 1,626 peneroka yang membayar pinjaman mereka akan mendapat ganjaran tunai RM1,820.
Mazlan berkata, kerajaan sepatutnya melupuskan sekurang-kurangnya 50% hutang peneroka dalam penyata kos tanam semula dan memansuhkan faedah pinjaman 6.25%.
Katanya, kerajaan juga perlu mengkaji semula terma hutang pembangunan ladang, termasuk baja, kos penyelenggaraan ladang dan pinjaman persendirian seperti pembesaran rumah yang mengenakan kos perkhidmatan 2.5%.
Beliau turut menggesa kerajaan mempercepatkan proses menanam semula, bermula daripada kerja penebangan, penyediaan tapak nurseri, menanam benih dan penyelenggaraannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA