Khamis, 20 Julai 2017

ANAK gesa tubuh RCI untuk siasat Felda

Aktivis Mazlan Aliman berkata suruhanjaya itu perlu menyiasat pelbagai dakwaan salah laku melibatkan Felda sebagaimana ia mengorek semula skandal era Dr Mahathir.
Mazlan-Aliman-feldaPETALING JAYA: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku Felda.
Presiden ANAK Mazlan Aliman berkata sebagaimana RCI ditubuhkan untuk “mengorek semula” skandal Forex yang dikaitkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad 20 tahun lalu, beliau mahu RCI melakukan perkara yang sama terhadap Felda.
“Saya menggesa kerajaan tubuh RIC dengan segera kerana ia melibatkan 112,635 peneroka Felda yang kini menanggung akibatnya,” katanya sambil menambah skandal terbabit tidak patut disembunyikan kerana ia hangat diperkatakan.
Mazlan menyokong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa individu dan tokoh yang terlibat dalam isu pembelian hotel 4 bintang di Kensington London pada 2014.
“Saya yakin ada ‘bukti dan penemuan baharu’ untuk melengkapkan siasatan pembelian aset ratusan juta ringgit yang mencurigakan itu.
“Jika disenaraikan dari 2012 hingga 2016, terlalu banyak dakwaan dibuat mengenai penyelewengan dan salahguna kuasa di Felda, Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) dan anak syarikatnya yang lain.
“Skandal itu pula terjadi semasa Tan Sri Isa Samad menjadi pengerusi kepada Felda,” katanya, sambil mengingatkan Isa dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mazlan juga mendesak SPRM menyiasat semula pembelian pangsapuri 198-unit di London pada 2013 dengan harga RM538 juta, juga didakwa jauh lebih mahal daripada harga pasaran.
“Seperti pembelian hotel di Kensington, pembelian pangsapuri di Bayswater juga telah dilaporkan kepada SPRM sebelum ini,” katanya.
Minggu lalu, SPRM menyiasat Felda Investment Corporation (FIC) berhubung pembelian hotel 62 bilik bernilai RM330 juta didakwa jauh lebih mahal dari harga sebenar menyebabkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian besar.
Dua hari kemudian, pegawai SPRM hadir ke pejabat FIC di Balai Felda bagi mengambil beberapa dokumen berhubung pembelian sebuah hotel tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA