Isnin, 3 Julai 2017

AMANAH ‘bimbang’ Sarawak hantar peguam ke London

Parti Amanah Negara (AMANAH) melahirkan kebimbangan dengan tindakan Sarawak yang menghantar sepasukan peguam ke London bagi mencari dan meneliti rujukan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963).
Menurut timbalan presidennya, Salahuddin Ayub, tindakan Sarawak menghantar pasukan peguam bagi menentukan hak-hak sebenar negeri itu yang termaktub di bawah perjanjian tersebut dibimbangi akan menyebabkan campur tangan asing dalam negara ini.
"Kenapa selepas puluhan tahun mereka (Sarawak) ambil sikap begini? Adakah ia tamparan pada pentadbiran (Datuk Seri) Najib (Razak) pada masa ini?
"Kita bimbang langkah (kerajaan negeri Sarawak) ini akan mengundang campur tangan asing dalam Malaysia.
"Kalau perkara ini dibawa oleh pembangkang sudah tentu kita akan dikenakan dengan pelbagai akta tetapi ini dibawa oleh kerajaan negeri sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma AMANAH di ibu negara hari ini.
Pada 1 Julai lalu, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak akan menghantar sepasukan peguam ke London untuk mencari dan meneliti rujukan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963).
Tindakan itu bagi menentukan hak-hak sebenar negeri berkenaan yang termaktub di bawah perjanjian tersebut.
Beliau tutut mengumumkan pasukan peguam berkenaan diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Abang Johari bagaimanapun tidak menyatakan bila dan tempoh masa pasukan berkenaan berada di London.
Selain melahirkan kebimbangan tentang cadangan menghantar kumpulan peguam dari Sarawak ke London, Salahuddin turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri Sarawak akan terus menyokong BN di semenanjung.
Menurut Salahuddin persoalan itu timbul kerana beliau mendakwa BN Sarawak pada pilihan raya negeri yang lalu memainkan sentimen anti-semenanjung.
"Sekarang ini, untuk berdepan pilihan raya umum akan datang apakah sikap BN Sarawak? Adakah menyokong BN di semenanjung?
"Saya lihat ada kecelaruan hubungan antara Kuching (kerajaan negeri) dan di Kuala Lumpur (kerajaan persekutuan). Ia tak baik untuk semangat serta bagi kukuhkan negara yang kita cintai," katanya.

3 ulasan:

  1. Harap Sarawak tak keluar msia. Ini tidak baik utk bagi semangat kukuhkan negara. PM should do something.

    BalasPadam
  2. Kami rakyat dah jemu lah dengan persekutuan kena buli aja

    BalasPadam
  3. Ini semua gimik pilihanraya jer...jgn tertipu dgn helah mereka......sebelum ni...redho jer....kena samun dgn raja penyamun sarawak......

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA