Isnin, 24 Julai 2017

ADIK BENG HOCK IKRAR MUNCUL DALAM KEMPEN NAJIB

Adik kepada Teoh Beng Hock, Teoh Lee Lan berjanji akan muncul dalam kempen BN pada pilihan raya umum akan datang jika kematian abangnya tidak mendapat pembelaan.
Sin Chew Daily memetik Lee Lan sebagai berkata: “Selepas lapan tahun, kami masih menunggu kerajaan menghukum pelaku dengan sewajarnya,” katanya pada acara peringatan Beng Hock hujung minggu lalu.
“(Tanpa keadilan), dia (perdana menteri) akan melihat saya pada acara kempen pilihan raya,” katanya yang mengesahkan perkara itu dalam kiriman mesej kepada Malaysiakini hari ini.
Lee Lan meminta sokongan orang ramai, kerana berpendapat keluarga sahaja tidak akan dapat mengubah sistem di negara ini.
Beliau berkata akan menuntut perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengotakan janji dan meminta penjelasan daripada kerajaan.
Pada tahun 2011, Lee Lan dilaporkan berkata Najib telah memujuk keluarganya untuk mengikuti proses undang-undang yang sewajarnya dan membolehkan inkues dilakukan terlebih dulu ketika mereka bertemu dua tahun selepas kematian Beng Hock.
Lee Lan berkata Najib kemudian berjanji bahawa keluarganya akan mengetahui punca di sebalik kematian Beng Hock.
Beng Hock adalah pembantu politik kepada ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang didapati mati di ibu pejabat SPRM Selangor pada 16 Julai 2009, selepas ditahan semalaman untuk soal siasat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA