Ahad, 23 Julai 2017

99 peratus tuduhan mengenai Rosmah salah, sembang Rizal

Sebanyak 99 peratus tuduhan pembangkang mengenai isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor adalah tidak benar, kata pegawai khas perdana menteri, Datuk Rizal Mansor.
Menurutnya, antara tuduhan yang tidak benar mengenai Rosmah ialah wujudnya dakwaan isteri perdana menteri itu mengawal suaminya, Datuk Seri Najib Razak dan pentadbirannya serta mempunyai pejabat di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Bagaimanapun, Rizal memberitahu, kewujudan pejabat berkenaan sebenarnya telah ada semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ia bagaimanapun dihentikan semasa Najib mengambil alih sebagai perdana menteri.
“Memang betul pejabat isteri perdana menteri ada wujud di Pejabat Perdana Menteri masa era perdana menteri keempat dan kelima, tetapi (semasa) era Datuk Seri Najib, pejabat isteri perdana menteri dah tak ada dan Datin Seri Rosmah tak pernah sekali pun masuk ke pejabat itu.
“Mereka (pembangkang) terbalikkan fakta. Kerana apa? Kerana Datin Seri Rosmah kata ‘saya tak perlukan pejabat itu sebab saya tak masuk pejabat. Saya memang tak suka pergi pejabat pun’,” kata Rizal.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan mesyuarat agung Pemuda Umno Kelana Jaya hari ini.
Selain itu, Rizal menambah, pejabat berkenaan terletak bersebelahan dengan pejabat perdana menteri dan ia merupakan tempat di mana isteri wakil kenamaan dari luar negara ditempatkan semasa perdana menteri menerima lawatan rasmi.
Rizal bagaimanapun memberitahu, Rosmah sebaliknya lebih suka menerima tetamu di kediaman rasmi mereka di Seri Perdana.
Katanya lagi, berbeza dengan tuduhan yang dilemparkan, Rosmah hanya pernah mengunjungi PMO sebanyak dua kali setahun iaitu semasa kakitangan PMO membuat jamuan hari jadi serta pejabat berkenaan menjadi tuan rumah untuk majlis rumah terbuka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA