Selasa, 25 Julai 2017

42 kertas siasatan salah laku polis di Melaka

Pihak polis membuka 42 kertas siasatan melibatkan salah laku atau kesalahan pegawai kanan serta anggota polis dan pegawai awam yang berkhidmat dengan pasukan polis di Melaka antara Januari lepas hingga semalam.
Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Ruslan Hasan berkata siasatan melibatkan 49 individu yang disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah atau kesalahan melibatkan urusan pentadbiran dan penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata kertas siasatan berkenaan menurun berbanding 55 kertas siasatan yang dibuka melibatkan siasatan terhadap 10 pegawai kanan dan 61 anggota pelbagai pangkat dalam tempoh sama tahun lepas.
"Kita sentiasa memandang serius penglibatan atau kesalahan jenayah serta pentadbiran yang melibatkan anggota, pegawai kanan serta pegawai awam polis di negeri ini. Tindakan ini menunjukkan pihak polis tidak pernah berkompromi atau melindungi mana-mana anggota atau pegawai yang bersalah.
"Semua kes berkenaan disiasat secara terperinci oleh lembaga tatatertib atau jawatankuasa khas yang ditubuhkan mengikut klasifikasi kes," katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Bulan Julai Ibupejabat Polis Kontinjen Melaka hari ini.
Anggota dan pegawai kanan polis melakukan Ikrar Bebas Rasuah dalam majlis itu yang turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Melaka Abu Talib Othman.
Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad berkata seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes samun dan bunuh di Taman Bukit Terendak Sungai Udang dan Melaka Tengah kira-kira 4.30 petang semalam.
Beliau berkata lelaki berkenaan merupakan individu kedua yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan 320 kanun sama.
"Kita telah mendapatkan perintah tahanan reman ke atas lelaki berkenaan selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut kes tersebut," katanya.
Dalam kejadian 14 Julai lepas, seorang warga emas Abdul Rahman Pileh, 60, maut manakala isterinya Sabturiah Lakidau, 59, parah dalam kejadian samun bersenjata di rumah mereka kira-kira 8.45 malam.
Seorang anggota tentera berusia 35 tahun merupakan suspek pertama yang ditahan di sekitar Sungai Udang kira-kira 10.30 malam hari sama bagi membantu siasatan kes tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA