Rabu, 12 Julai 2017

30 tahun lagi, Khairy akan lepas tangan dalam skandal 1MDB pula?

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin sanggup kelihatan kurang cerdik hanya untuk mempertahankan bosnya, Datuk Seri Najib Razak dalam isu skandal pertukaran mata wang asing (forex) yang berlaku semasa era Tun Dr Mahathir Mohamad.
Najib Razak yang ketika itu menganggotai Kabinet yang diketuai Dr Mahathir dipersoal dalam satu laporan media baru-baru ini ekoran sikap berdiam diri Perdana Menteri berkenaan ketika skandal terbabit hangat diperkatakan dan diperdebatkan pelbagai pihak.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan kemudiannya tampil membela Presiden UMNO berkenaan dengan mengatakan bahawa ahli Kabinet tidak seharusnya dipersalahkan kerana kononnya telah dikelirukan Dr Mahathir.
“Pasukan petugas khas mengenai kerugian forex BNM (Bank Negara Malaysia) oleh Sidek (Tan Sri Mohd Sidek Hassan) menyimpulkan bahawa kabinet telah dikelirukan dan kerugian sebenar ditutup, jadi bagaimana menyalahkan menteri lain?” katanya menerusi laman sosial, Twitter.
Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Wong Kah Woh berkata, sikap terburu-buru Khairy mempertahankan Najib Razak menunjukkan kedangkalannya dalam memahami prinsip asas kebertanggungjawaban dan keputusan secara bersama Kabinet.
Malah, katanya, Khairy sengaja tidak mengendahkan prinsip berkenaan semata-mata demi mempertahankan Najib Razak yang kini terpalit dengan skandal penyelewengan berbilion ringgit melibatkan syarikat pelaburan milik penuh negara, 1MDB.

“Adakah Khairy akan mengatakan perkara yang sama 30 tahun akan datang dengan mengulangi kenyataannya bahawa Kabinet sekarang, termasuk dia, tidak harus bertanggungjawab terhadap skandal 1MDB kerana seluruh Kabinet telah dikelirukan oleh Najib?” soalnya.
Kah Woh yang juga Adun Canning menambah, Najib Razak tidak layak untuk memegang tampuk negara jika dia begitu naif membiarkan dirinya dikelirukan oleh Ketua Kabinet tanpa pengetahuannya.
“Membuat keputusan dan kebertanggungjawaban secara kolektif adalah prinsip asas sistem Kabinet. Jika seseorang menteri tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Kabinet beliau patut melepaskan jawatan,” ujarnya.
Memahami bahawa tindakan Khairy hanya mempertahankan partinya, Kah Woh bagaimanapun mengajak dia agar menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraya (RCI) bagi menyiasat skandal 1MDB seperti mana skandal forex demi secebis kebenaran.

1 ulasan:

  1. Generasi2 akan dtg akan mengutuk, mengecam dan menghina penyangak2 1mdb. Menteri2 dan ketua2 umno yg diam dan tak berani bersuara akan turut dikutuk dan dihina. Cuma beberapa org bekas pemimpin umno bebas drp celaan

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA