Rabu, 19 Julai 2017

1MDB bukan kleptokrasi, Umno tidak tergugat dengan tindakan Singapura

TINDAKAN tegas yang diambil Singapura ke atas beberapa individu dalam siri pendakwaan kes mahkamah berkaitan 1MDB tidak mempunyai banyak kesan kepada dana negara sarat hutang itu, kata pemimpin Umno.
Mereka mengatakan yang semua tindakan yang diambil setakat ini di Republik itu hanya melibatkan rakyat Singapura atau undang-undang Singapura yang dilanggar. Dan memandangkan pihak berkuasa Singapura merasakan undang-undang mereka berkaitan penggubahan wang haram dilanggar, mereka mempunyai hak untuk mengambil tindakan kepada individu terlibat.
Tetapi dalam kes Malaysia, pihak berkuasa negara ini sudah menyimpulkan yang tiada undang-undang negara yang dilanggar melibatkan transaksi 1MDB. Kerana itu, logiknya tiada tindakan dikenakan ke atas sesiapa yang berada di Malaysia.
Malah pemimpin parti teras Barisan Nasional (BN) itu juga menyambut baik pendakwaan di Singapura terhadap individu yang terlibat dalam dakwaan penggubahan wang haram berkaitan 1MDB, selagi mana ia tidak mencampuri undang-undang Malaysia.
"Apapun kita kena hormat sistem perundangan negara berkenaan. Mereka ada proses untuk tentukan siapa yang benar," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ahmad Shabery Cheek.
Manakala Ketua Penerangan Umno, Annuar Musa berkata perbicaraan 1MDB yang diadakan di luar negara menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai meskipun Malaysia sudah memutuskan tiada kesalahan dalam urus niaga 1MDB.
Kata ahli Parlimen Ketereh itu, siasatan dan perbicaraan 1MDB di luar negara tidak boleh disamakan kerana ia melibatkan undang-undang berkaitan negara mereka.
Katanya tanggapan yang sama juga berlaku ketika Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengumumkan saman pelucutan hak sivil terbarunya untuk merampas aset bernilai ASD540 juta yang dibeli menggunakan dana didakwa diselewengkan daripada 1MDB.
"Bila Peguam Negara Mohamed Apandi Ali kata 1MDB ini tiada kes maka bermula kontroversi orang kata kenapa Amerika Syarikat ambil tindakan sedangkan Malaysia tak.
"Yang ini berkaitan soal kleptokrasi sebab bukan 1MDB yang beli hartanah aset di sana yang beli ialah orang dituduh, biarlah undang-undang Amerika Syarikat berjalan," katanya sambil menegaskan pihak Malaysia tidak mempunyai masalah memberi kerjasama penuh sekiranya dipanggil negara terbabit.
Namun kata Annuar, sehingga kini Amerika Syarikat atau Singapura tidak memanggil Malaysia untuk membantu siasatan mengenai syarikat 1MDB.
"Yang berlaku di Singapura ialah dibawah urusan institusi perbankan mereka dan kalau di Amerika Syarikat melibatkan pemilikan harta disyaki daripada sumber kleptoktrasi. Kalau ikut jalur wang itu akan lalu mana-mana pun,"

"Serupa juga kalau bagi wang RM 10 dekat anak saya, wang pergi dekat anak saya itu cuma transaksi biasa antara anak dan bapak .Tapi bila anak saya pergi berjudi kemudian kena tangkap ataupun anak saya guna wang itu beli dadah kena tangkap, bila kena tangkap tak bolehlah nak salahkan bapa dia yang berikan duit jadi inilah yang kita tidak jelas."
Singapura menjadi negara pertama yang menjatuhkan sabitan tuduhan berkaitan dengan penggubahan wang haram dikaitkan dengan dana 1MDB di Singapura.
Terbaru perbicaraan jenayah kolar putih berprofil tinggi yang diadakan pada minggu lalu di negara republik itu menyaksikan seorang lagi bekas pegawai bank kanan BSI Singapura, Yeo Jiawei disabit bersalah atas dakwaan penggubahan wang haram dan penipuan.
Sebelum Yeo, mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman penjara kepada empat jurubank lagi kerana kesalahan sama.
Susulan tindakan undang-undang di Singapura dan Amerika Syarikat, tekanan semakin meningkat ke atas kerajaan Malaysia takkala peguam negara mengesahkan tiada elemen jenayah yang membolehkan kes 1MDB dibicarakan di mahkamah.
Malah pendakwa raya Singapura dalam prosiding yang dijalankan turut mendakwa bahawa 1MDB yang merupakan syarikat pelaburan milik kerajaan menjadi mangsa ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.
Menurut pendakwa raya itu sekurang-kurangnya US$1 bilion atau RM4.3 dana 1MDB yang sepatutnya digunakan untuk pelaburan dalam kerjasama antara Petro Saudi International Ltd disalurkan kepada akaun peribadi Jho Low.
Tiada bukti
Sementara itu, panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Tun Faisal Ismail Aziz berkata kenyataan dibuat pendakwa raya Singapura yang menyatakan 1MDB menjadi mangsa Jho Low tidak boleh disamakan dengan kes di Malaysia.
Beliau berkata kenyataan itu jika tidak boleh dikaitkan dengan situasi di Malaysia kerana tiadanya bukti pelanggaran penggubahan wang yang dapat dikemukakan sehingga kini.
"Dalam hal ini tidak boleh kata penggubahan wang haram sebab Bank Negara sendiri yang bagi kebenaran, tiga kali (kebenaran diberikan) dan disebut dengan jelas ia digunakan untuk pelaburan."
Pada masa sama beliau juga menyambut baik tindakan Singapura yang mensabitkan hukuman tersebut dan menganggapnya sebagai tindakan yang wajar.
Katanya, perbicaraan di Singapura sebenarnya tidak melibatkan 1MDB kerana prosidingnya berkaitan dengan pelanggaran undang-undang kewangan perbankan akta Singapura termasuk penggubahan wang haram.
Tambahnya, jika benar kes dibicarakan di Singapura berkaitan dengan kehilangan wang 1MDB, sudah tentu pihak syarikat terbabit akan dipanggil memberi keterangan tetapi setakat ini ia tidak pernah berlaku.
"Isu perbicaraan 1MDB ini cuma melibatkan Singapura dan setengahnya ialah daripada kalangan warga Singapura dan warga asing. Ia melibatkan akaun yang dibuka di Singapura oleh institusi di Singapura.
"Jadi ia bukan tanggugjawab 1MDB , 1MDB tidak ada kuasa di situ dan memang mereka patut dihukum kerana sebagai institusi yang menjaga wang pelabur mereka sepatutnya menjaga wang tersebut dan membuat pelaburan sah bukannya membuat pelaburan yang melanggar kewangan Singapura."

3 ulasan:

  1. Kalau dah bodoh bagi contoh pun contoh bodoh lah....duit kau simpan kat bank spore...sekarang bank dah tutup...tak kan buat bodoh tak tuntut pulak...bukan sikit...hampeh betullah

    BalasPadam
  2. Betul jugak...sbb sekarang nie kerajaan penyamun....jadi undang2 yg digunakan adalah undang2 penyamun.....jadi dlm undang2 kerajaan penyamun....menyamun...merompak...menyeleweng tidak melanggar undang2 kerajaan penyamun........spt kata ahmad nisfu dlm filem musang berjanggut...."undang2 itu kanda yg reka/buat".....hihihihihi

    BalasPadam
  3. Najib dan bini dia dituduh mcm2. Satu dunia dah tahu. Klu org bermaruah dan yg paling penting tak bersalah sudah tentu dia saman pihak yg menuduh. Lee kuan yew saman IHT krn memfitnah dia dan menang ganti rugi beratus ribu. Org melayu bani umno tak faham2 atau pura2 tak faham konsep mudah ini dan belit sana sini demi mempertahankan ketua kleptokrat mrk. Melayu bani umno akan tenggelam bersama ketua klepet mrk

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA