Sabtu, 24 Jun 2017

Zeti: ‘Perasaan peribadi’ terhadap skandal 1MDB perlu diketepikan


Zeti: ‘Perasaan peribadi’ terhadap skandal 1MDB perlu diketepikan
Bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz berkata peranan BNM terhad kepada pelanggaran peraturan perbankan dan objektif utama bank pusat itu dalam mengendalikan kes 1MDB memastikan integriti sistem kewangan negara dikekalkan. 
BEKAS gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz berkata kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) antara cabaran paling besar dalam kerjayanya kerana beliau terpaksa mengetuai bank pusat yang kekurangan kuasa pendakwaan ketika masyarakat mengharapkan tindakan diambil.
Dalam satu temu bual dengan Sin Chew Daily yang disiarkan malam tadi, Zeti berkata beliau tidak dapat menyatakan perasaan peribadinya mengenai skandal itu, berkata ia akan mengganggu kerjanya.
“Tidak seperti orang lain, kami perlu belajar untuk fokus kerana hasil kerja kami untuk rakyat dan sektor perniagaan, bukan perasaan peribadi,” katanya kepada wartawan Sin Chew di pejabatnya di ICLIF Leadership and Governance Centre (ICLIF).
“Sudah tentu, saya juga manusia biasa dan ada perasaan, tetapi saya perlu ketepikan. Saya tahu tanggungjawab saya,” katanya ketika ditanya adakah beliau rasa tertewas dengan keputusan kes 1MDB.
Zeti yang kali pertama dilantik sebagai gabenor BNM pada 2000, bersara selepas tempoh penggal perkhidmatannya berakhir April lalu.
Skandal itu terdedah pada Julai 2015 apabila Wall Street Journals menyiarkan dokumen menyatakan AS$681 juta (RM2.6 juta) daripada dana 1MDB dipindahkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Najib Razak.
Najib berulang kali menafikan sebarang salah laku.
“Kami tahu Bank Negara sangat penting kepada negara. Kami tidak mahu ia musnah. Dan itu salah satu pertimbangan saya,” kata Zeti.
Beliau berkata peranan BNM terhad kepada pelanggaran peraturan perbankan dan objektif utama bank pusat itu dalam mengendalikan kes 1MDB ialah untuk memastikan integriti sistem kewangan negara dikekalkan.
“Kami mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada badan berkenaan dan institusi kewangan yang melanggar peraturan Bank Negara dalam kes 1MDB. Saya boleh kata denda yang mungkin tertinggi dalam sejarah,” katanya.
Beliau berkata stabiliti dan “berfungsi dengan baik” dalam sistem kewangan negara dipelihara oleh “undang-undang paling komprehensif” termasuk Akta Bank Pusat Malaysia 2009 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

“Itu apa yang Bank Negara boleh buat dalam bidang kuasanya,” kata Zeti.
BNM mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB pada 28 April, 2016 tetapi tidak menyatakan jumlah kompaun.
Dua minggu kemudian, gabenor yang baru dilantik Muhammad Ibrahim mengumumkan BNM menyiasatkan siasatannya terhadap 1MDB.
Sementara itu, Zeti memberitahu Channel News Asia (CNA) pada Rabu yang beliau membantu siasatan terbaru berhubung kehilangan ribuan ringgi menerusi perdagangan mata wang asing oleh bank pusat ketika Dr Mahathir Mohamad masih perdana menteri.
“Ya, saya dipanggil, mereka tanya beberapa soalan, saya menjawab berdasarkan apa yang saya tahu, ia berlaku 25-30 tahun lalu,” katanya.
BNM sejak itu meletakkan langkah perlu bagi memastikan ia tidak akan berlaku lagi. Kami melaksanakan standard pengurusan risiko tertinggi,” katanya.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan minggu ini bagi menyiasat kerugian dialami bank pusat itu pada awal 1990-an akibat spekulasi mata wang
Anwar Ibrahim, menteri kewangan pada masa itu dan Nor Mohd Yakcop bekas pembantu gabenor disoal siasat dalam tempoh beberapa bulan lalu.
Ketika ditanya mengenai skandal 1MDB muncul lagi, Zeti berkata: “Bank pusat sudah mengambil tindakan mengikut kemampuannya. Luar sistem kewangan yang membabitkan penipuan dan rasuah bukan dalam bidang kuasanya.”
Jabatan Kehakiman (DoJ) memulakan tindakan untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang dikatakan dibeli dengan wang dicuri daripada dana pelaburan negara 1MDB, menjadikan jumlah yang disalahgunakan AS$4.5 bilion.
Aset yang disasarkan termasuk hak untuk filem "Dumb and Dumber To", yang dihasilkan Riza Aziz, anak tiri Najib.
Pada masa sama tahun lepas, pendakwa AS memfailkan saman sivil aset bagi pelucutan hak terhadap lebih AS$1 bilion karya seni, hartanah dan lain-lain aset daripada punca yang sama, dimiliki beberapa individu.
Wall Street Journal melaporkan pada Mac yang pihak berkuasa Amerika Syarikat bercadang memfailkan tuduhan jenayah terhadap ahli perniagaan dari Pulau Pinang Low Taek Jho dalam kaitannya dengan skandal 1MDB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA