Khamis, 22 Jun 2017

"YANG BERBAU GAJAH MATI DI DEPAN MATA, YANG DICARI BANGKAI NYAMUK DI SEBERANG LAUT"

Hasil cadangan Pasukan Petugas Khas yang menyiasat berhubung kerugian urusniaga matawang asing pada 1980an dan 1990an, kabinet semalam telah bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi meneruskan siasatan mengenai perkara itu.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, keputusan menubuhkan Suruhanjaya Diraja kerana mendapati wujud elemen menyembunyikan fakta sebenar kerugian dengan mengemukakan maklumat yang bertujan mengelirukan Jemaah Menteri dan Parlimen.

Dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja itu diharap mampu merungkai isu yang membelenggu negara sejak 23 tahun lalu, kata kenyataan Perdana Menteri lagi.

Satu-satunya fakta mengapa kerajaan UMNO dan BN pimpinan Najib Razak menubuhkan Pasukan Petugas Khas dan kemudian Suruhanjaya Diraja ini ialah kerana kritikan serta serangan berterusan Tun Mahathir Mohamad terhadapnya, khususnya berhubung skandal kewangan 1MDB yang sudah berlarutan sejak lebih 2 tahun yang lalu.
Jika Tun Mahathir tidak menyerang Najib, tidak keluar UMNO, tidak menubuhkan Bersatu dan tidak bersama dengan Pakatan Harapan, pasti tidak diwujudkan Suruhanjaya Diraja berkenaan.

Lebih jelas, ia adalah usaha untuk mengenakan Tun Mahathir dengan harapan Najib, UMNO dan BN terus menang dan berkuasa selepas pilihanraya umum akan datang.

Ia juga suatu paparan yang jelas bahawa Najib begitu gerun untuk berdepan dengan pengaruh Tun Mahathir yang telah menubuhkan Bersatu dan kini bersama-sama dengan Pakatan Harapan untuk memberi cabaran kepadanya melalui pertimbangan kuasa rakyat.

Suruhanjaya Diraja itu tidak lain adalah sebagai tindak balas dan mengalih pandangan untuk menutup skandal 1MDB yang paling nyata berada di depan mata serta penyiasatan antarabangsa turut mendapati melalui syarikat pelaburan itulah munculnya isu RM2,600 juta dalam akaun peribadi Najib, SRC International dan hiruk-pikuk lain yang melibatkan Jho Low, Rosmah Mansor dan Riza Aziz.

Lantaran penyiasatan dalam negara tidak berjalan atau terlalu perlahan dengan berlakunya pelbagai pemecatan kepada mereka yang bersuara serta bertanya soalan, yang didesak oleh pelbagai pihak agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja ialah berkaitan 1MDB.

Tetapi, Najib bukan saja menutup mata dan memekakkan telinga terhadap desakan itu, malah tanpa segan dan malu juga mengOSAkan laporan audit mengenai 1MDB itu.

Maka, walaupun skandal 1MDB ini sudah berbau ke seluruh dunia dengan pelbagai negara sudah melakukan penyiasatan serta menjatuhkan hukuman dan yang paling mengaibkan ialah pelbagai pendedahan di sebalik saman sivil untuk merampas hartanah dan pelbagai aset lain oleh DOJ Amerika Syarikat, semuanya cuba ditutup rapi dan tiada tindakan diambil setakat ini.

Di ketika Pasukan Petugas Khas menyiasat mengenai urusniaga matawang tersebut dan difahami tujuannya untuk mengenakan Tun Mahathir, tetapi bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu tidak dipanggil sama sekali untuk memberi keterangannya.

Sebaliknya, Anwar Ibrahim yang dipanggil oleh Pasukan Petugas Khas untuk memberi keterangannya sudah dapat menghidu tujuan mengenakan Tun Mahathir itu berdasarkan soalan-soalan yang ditujukan kepadanya.

Mereka mahu menggunakan saya untuk menyerang Tun Mahathir, tetapi saya tetap memberitahu bahawa kerajaan tidak boleh menggunakan ini untuk menyalahkan Tun Mahathir semata-mata, tegas Anwar lagi.

Bahkan, bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga konsisten dengan kenyataannya bahawa yang bertanggungjawab terhadap kerugian urusniaga matawang itu ialah Nor Mohamed Yakcob yang kini menjadi Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional, cabang pelaburan utama kerajaan.

Pengerusi Khazanah ialah Najib sendiri selaku Perdana Menteri.
Anwar turut memberitahu, berikutan beban pertanggungjawaban kepada Nor Mohamed Yakcop itu, beliau bukan saja kemudiannya diarah meletakkan jawatan daripada Bank Negara, malah tidak dibenarkan daripada terlibat dalam mengendalikan kewangan negara.

Bagaimanapun, tambah Anwar, ketika Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri, Nor Mohamed Yakcop telah diilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Berdasarkan semua itu, kita sudah boleh menjangka hasil siasatan Suruhanjaya Diraja itu nanti.

Tidak mustahil, sebagaimana Tun Mahathir tidak dipanggil oleh Pasukan Petugas Khas untuk memberi keterangannya, beliau juga mungkin tidak diperlukan mengadap Suruhanjaya Diraja itu.

Bagaimana cepatnya Suruhanjaya Diraja itu dipersetujui untuk ditubuhkan, hasilnya juga barangkali akan dikeluarkan sebelum Parlimen dibubarkan.

Tetapi, apa pun hasilnya nanti, sementara yang cuba dicari ialah bangkai nyamuk di seberang laut, bau yang menusuk kalbu daripada gajah mati di depan mata tentulah tidak mudah untuk diwangikan begitu saja.

1 ulasan:

  1. Hasil RCI nanti sebenarnya akan memburukkan lagi imej umno kerana kerajaan yang memerintah semasa kerugian forex masa itu ialah kerjaan pimpinan pm dari umno. Najib pun akan terkena tempias kerana dia pun anggota kabinet juga masa itu.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA