Jumaat, 30 Jun 2017

UNDI:18 TAHUN BELUM MATANG?

DALAM pilihanraya umum Britain pada awal Jun, satu fenomena yang mengejutkan ialah peratusan yang keluar mengundi di kalangan anak muda yang sangat tinggi. Tiada siapa yang menyangka ia akan berlaku kerana biasanya pilihanraya di Barat jarang menarik perhatian golongan muda.
Dianggarkan kira-kira 72% anak muda keluar mengundi. Malah, lebih mengejutkan lagi, takrifan anak muda di United Kingdom adalah mereka yang berumur di antara 18 dan 24 tahun. Di negara itu, sesiapa yang berusia 18 tahun ke atas layak mengundi. Kini sudah ada kempen di Britain untuk menurunkan usia mengundi menjadi 16 tahun.
Berbeza dengan Malaysia, kadar umur masih kekal pada 21 tahun. Ini telah menafikan hak jutaan golongan muda yang berusia di antara 18 dan 20 tahun untuk memilih kerajaan yang akan mentadbir, memerintah dan menentukan masa depan mereka.
Sebenarnya, umur 21 tahun sebagai pengundi merupakan legasi zaman penjajah. Britain membenarkan warganya yang berumur 21 tahun mengundi pada tahun 1928. Undang-undang dipinda pada 1969 untuk menurunkan umur kepada 18 tahun.
Namun, Malaysia memilih untuk kekal dengan undang-undang penjajah kerana ia memberi kelebihan kepada pemerintah. Kerajaan sedar usia 18 – 21 merupakan darah muda yang sentiasa dahagakan pembaharuan dan perubahan.
Rakyat berhak mengundi pada usia 18 tahun. Malah, sistem pilihanraya negara perlu dirombak segera, khususnya bagi memastikan pendaftaran secara automatik sebaik sahaja seseorang warganegara mencapai umur 18 tahun. Sama ada dia mahu mengundi atau tidak, itu hak asasinya. Tiada paksaan. Tetapi hak mengundi telah ditetapkan secara automatik.
Yang peliknya, banyak perkara dewasa dibenarkan pada usia 18 tahun tetapi dinafikan hak mengundi.  Umpamanya, pada usia 18 tahun telah dibenarkan berkahwin; malah bagi perempuan remaja Islam dibolehkan berkahwin pada umur 16 tahun. Tidak cukup dengan itu, Hakim Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk membenarkan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun bernikah.
Jika 16 tahun sudah dibenarkan berkahwin dan memulakan tanggungjawab bekeluarga serta menerima kesan semua keputusan dan dasar kerajaan, mengapa hak, amanah dan komitmen untuk menentukan kerajaan melalui hak mengundi masih dinafikan kepada anak muda?
Di Malaysia juga, usia 16 tahun juga sudah layak bekerja setaraf dewasa serta mendapatkan lesen motosikal manakala usia 17 tahun pula layak mengambil lesen kereta, dan pada umur 18 tahun sudah dibenarkan membeli rokok, dan minum keras bagi yang bukan-Muslim.
Malah, Akta Umur Dewasa 1971 menetapkan usia dewasa untuk lelaki dan perempuan di Malaysia adalah 18 tahun. Ini bermakna seseorang yang berumur 18 tahun dianggap sudah cukup matang untuk didakwa atau mendakwa serta menjadi saksi di mahkamah sebagai seorang dewasa.
Ketidaksimbangan di antara umur dewasa dan umur mengundi di Malaysia menimbulkan kesan yang buruk. Proses pemilihan kerajaan dianggap seolah-olah permainan orang tua yang tidak dipedulikan oleh anak muda.
Malah, dari segi politik kepartian, banyak parti yang masih mengekalkan umur maksimum 40 tahun sebagai usia golongan muda. Bayangkan orang politik yang masih bergaya sebagai anak muda sedangkan dia sendiri mungkin mempunyai anak-anak di sekolah menengah atau universiti, atau anak yang sudah bekerja dan anak yang telah berkahwin; dan dia masih bergiat sebagai pemuda di dalam parti. Lebih sesuai mereka ini digelar bapak atau emak budak.

Walaupun ada parti politik yang telah menurunkan usia sayap muda kepada 35 tahun, ia belum mencukupi. Sepatutnya semua pertubuhan menurunkan tahap umur anak muda sehingga 25 tahun, sekurang-kurangnya. Ini akan membolehkan mereka yang berusia 26 tahun ke atas bergiat cergas sebagai orang dewasa. Ini juga bermakna, di dalam politik, mereka berhak mencabar pimpinan yang sudah berumur  lebih 60 atau 70 tahun.
Aspirasi anak muda amat berbeza dengan dewasa, khususnya orang dewasa yang sudah berkeluarga. Komitmen mereka tidak sama, cita-cita mereka berlainan.
Yang berkeluarga memerlukan komitmen kerajaan untuk memastikan perbelanjaan, cukai dan hutang mereka tidak membebankan diri, pasangan dan anak-anak.
Yang belum atau tidak berkahwin biasanya merupakan pelajar atau pekerja muda. Pelajar universiti memerlukan pembiayaan pendidikan seperti PTPTN atau lebih baik lagi pendidikan percuma. Orang muda yang mula bekerja memerlukan gaji atau elaun mencukupi untuk sewa rumah atau bilik, minyak motosikal atau kereta, malah wang tambahan untuk membantu ibu bapa jika mereka daripada keluarga berpendapatan rendah.
Jika mereka dalam usia 18 – 25 tahun tidak diberi hak mengundi, ia terus melahirkan generasi yang tidak peduli dengan hak, tanggungjawab dan amanah. Di kala mereka berhempas pulas mencari biaya pendidikan atau makan gaji sebagai pekerja junior, mereka ditekan suasana sosial sedangkan mereka tidak diberi hak mengundi kerajaan yang menentu dan melaksanakan suasana sosial yang menekan mereka.
Inilah dilema anak muda yang harus ditangani anak muda sendiri. Mereka perlu menuntut hak sendiri. Jika masih menanti orang dewasa atau tua yang berkuasa membuka jalan, tunggulah sehingga kucing bertanduk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA