Jumaat, 9 Jun 2017

Undi rosak, protes atau sudah bosan?

Oleh Dr Siva
BAHANG pilihan raya umum (PRU) semakin terasa. Saban hari ramai bercakap mengenainya dalam kalangan masyarakat baik di kedai kopi mahupun media sosial. Ia sudah pasti membabitkan undi yang bakal diperoleh oleh parti politik atau calon pilihan mereka. Namun, tidak ramai memberi tumpuan ke atas undi rosak dan kertas undi yang tidak dipulangkan untuk melihat sama ada ia adalah undi protes atau undi bosan de­ngan per­caturan politik yang tidak per­nah berakhir sejak PRU Ke-13. Para strategis tidak terkecuali.
Menjadi satu kebiasaan di dalam pilihan raya, kita sering melihat kehadiran undi ini yang sama ada berbentuk rosak ataupun tidak di­pulangkan. Dalam PRU 2008, sebanyak 324,120 kertas undi didapati rosak yang ditolak manakala di dalam PRU Ke-13, 332,297 kertas undi adalah rosak. Sebanyak 171,556 undi adalah bagi kerusi Parlimen dan 151,741 adalah untuk Dewan Undangan Negeri (DUN).
Fenomena undi rosak sudah berlaku dalam siri pilihan raya dan ini boleh dilakukan kerana tidak dianggap songsang dengan tingkah laku pengundian atau satu kesalahan dan juga bukan diketahui awal kerana hanya ­ketara sewaktu pengiraan dilakukan.
Ada empat kumpulan ma­sya­rakat yang sama ada aktif atau pasif dalam arena politik. Ini termasuk sebilangan yang tidak melakukan apa-apa tindakan; sebilangan lagi terlibat dalam partisipasi ritual seperti pilihan raya termasuk mengundi, berkempen dan menjadi ahli parti politik.
Ada pula yang dikategorikan di bawah politik ganas dan yang terakhir adalah partisipasi protes atau bersifat konfrontasi yang sebenarnya memberi gambaran me­ngenai pengundi kertas undi rosak.
Yang tidak berpartisipasi adalah kumpulan yang tidak percaya pada sistem; kurang maklumat mengenai kepentingan pilihan raya; tidak percaya undi mereka penting; tidak yakin adanya pilihan yang munasabah dan sebilangan yang merasakan kekura­ngan sumber untuk terlibat secara efektif.
Namun, setiap kertas undi penting kepada calon yang bertanding di pilihan raya baik PRU atau pilihan raya kecil (PRK) kerana ia menjadi penentu kepada kemenangan mereka baik calon Barisan Nasional (BN) mahupun calon parti pembangkang serta calon Bebas.
Banyak cara untuk menggolongkan kertas undi rosak termasuk tidak menandakan mana-mana pilihan dan dibiarkan kosong; menggunakan tanda-tanda yang tidak diiktiraf oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); menandakan lebih dari satu calon; menggunakan ungkapan yang tidak dibenarkan sebagai pengganti kepada tanda yang dibenarkan.
Ada juga yang mengoyakkan kertas undi sebagai protes atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh pengundi tersebut. Ada juga me­nunjukkan rasa bosan mereka de­ngan menggunakan kerahsiaan mengundi sebagai perlakuan yang tidak menyokong mana-mana pihak ­kerana dirasakan sama sahaja.
Ada pengundi yang menunjukkan mereka bertanggungjawab ke atas demokrasi berpartisipasi de­ngan mendaftar sebagai pengundi dan hadir di hari pilihan raya tetapi membuat keputusan untuk sama ada merosakkan kertas undi ataupun membawa pulang kertas undi tersebut yang sekali gus memberi kesan ke atas tanggungjawab mereka pada struktur perjalanan pilihan raya negara ini.

Walaupun tidak wajar dipertanggungjawabkan ke atas SPR namun, bagi SPR ia akan membuat mereka merasakan seolah-olah ada segelintir yang mencabar sistem yang ada dengan tindakan sedemikian rupa. SPR sebenarnya memberi kelonggaran dengan membenarkan tanda lain selain tanda pangkah ‘X’ diterima seperti titik atau tanda lain dengan syarat dibuat dalam ruangan yang disediakan kerana SPR melihat pengundi tersebut menunjukkan keinginan untuk memilih seseorang calon.
Ramai beranggapan seolah-olah pengundi tidak tahu atau tidak faham cara mengundi semasa pilih­an raya walhal kadar celik huruf sudah meningkat pada paras yang amat membanggakan melainkan golongan ini mempunyai faktor lain mempengaruhi pemangkahan mereka atau sengaja menunjukkan literasi politik yang rendah walaupun berpendidikan tinggi.
Mereka tahu bahawa tidak boleh menulis perkataan dalam kotak kertas undi tetapi masih lakukannya ataupun membawa pulang kertas undi sama ada sebagai barang kenangan hadir pilihan raya yang dimuat naik dalam akaun Facebook mereka serta merta ataupun atas alasan lain.
Ada yang menyalahkan parti, ada pula yang menidakkan hak calon bertanding serta sekumpulan yang memberikan undi protes kerana merasakan pilihan raya tidak ubah kehidupan mereka. Maka, dalam mengamalkan hak demokrasi sebagai pengundi, mereka juga menunaikan hak untuk tidak memilih sesiapa.
Yang paling tidak menyeronokkan adalah untuk melihat undi rosak lebih besar dari majoriti yang diperoleh oleh seseorang calon atau di sebaliknya dengan majoriti sedikit lebih dari undi rosak.
Misalnya, di Machang (majoriti: 805, rosak: 729); Ketereh (majoriti: 974, rosak: 876), Tebrau (majoriti: 1,767, rosak: 1,551); Bagan Serai (majoriti: 1,140, rosak: 1,096); Segamat (majoriti: 1,217, rosak: 950) dan Beaufort (majoriti: 673, rosak: 559). Di Cameron Highlands (majoriti: 462, rosak: 877), Bentong (majoriti: 379; rosak: 934); Kuala Selangor (majoriti: 460, rosak: 934); Baram (majoriti: 194, rosak: 242); Sungai Besar majoriti: (399 majoriti, rosak: 690); Labis (majoriti: 353, rosak: 689 rosak) dan Kota Marudu (majoriti: 842, rosak: 911).
Ada faktor yang pelbagai menyumbang kepada pola pengundian undi rosak ini. Ramai menamakannya sebagai protes dan tidak ingin mengundi calon lawan bukan sahaja kerana berbeza ideologi politik tetapi pada masa sama tidak mahu melihat mereka meraikan kemenangan. Mereka tidak puas hati dengan pemilihan calon atau jentera parti dan ini diterjemah dalam bentuk undian rosak, mungkin juga tidak puas hati dengan kerajaan pusat atau negeri.
Parti-parti politik mesti berhati-hati dengan kehadiran undi rosak yang terlampau. Impaknya besar jika ia berpihak kepada calon lawan mereka sehingga membawa kepada kejatuhan calon berwibawa atau kerajaan yang stabil gara-gara trend mahukan perubahan atau pembaharuan. Jentera parti wajar cuba memahami keperluan, kemahuan dan mindset kumpulan ini agar tidak menjejaskan prestasi calon yang berkelayakan untuk ber­khidmat kepada pengundi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA