Rabu, 21 Jun 2017

Undi BN meningkat di kerusi Felda bukan Melayu DAP, kata Invoke

Undi BN meningkat di kerusi Felda bukan Melayu DAP, kata Invoke
Ahli Pakatan Harapan hadir sidang media selepas pelancaran “Buku Panduan Ejen Tempat Mengundi" di pejabat Invoke di Kuala Lumpur, hari ini. 
UNDI Barisan Nasional (BN) akan meningkat di enam kerusi Parlimen Felda yang mempunyai calon Pakatan Harapan (PH) bukan Melayu terutama daripada DAP, menurut kajian dilakukan badan bukan kerajaan Invoke.
Pengasas Invoke Rafizi Ramli berkata penurunan sokongan pengundi Melayu terhadap DAP menurun selepas berlakunya perpecahan Pakatan Rakyat (PR) yang menyaksikan PAS tidak lagi bekerjasama dengan mereka.
"Enam kerusi Felda ini ialah Telok Intan, Kulai, Bentong, Raub, Segamat dan Tanjong Malim," katanya yang juga naib presiden PKR pada sidang media di Ibu Pejabat Invoke di Kuala Lumpur hari ini.
"Selepas Pakatan Rakyat berpecah, polarisasi dalam politik Malaysia kembali berlaku. Pengundi Melayu di kawasan Felda tidak mengundi calon bukan Melayu terutamanya daripada DAP. DAP kini menerima serangan daripada BN dan PAS."
Rafizi berkata keadaan ini akan memberikan kesan kepada PH di kerusi yang dimenangi secara marginal pada PRU13 seperti Telok Intan, Segamat, Raub dan Tanjung Malim.
Bagaimanapun katanya, di kerusi yang mana PH menang besar, majoriti mereka mungkin akan berkurangan sekiranya trend tidak berubah.
"Contohnya Kulai beralih terhadap BN 8.28 %. Ini tidak bermakna Ahli Parlimen DAP Teo Nie Ching akan kalah.
"Tetapi di Kulai yang menang besar sebelum ini, majoriti kemenangan mungkin akan berkurangan," kata ahli Parlimen Pandan itu.
Bagaimanapun, kajian Invoke itu mendapati, semua kerusi Parlimen Felda yang ditandingi calon Melayu PH, sokongan terhadap BN mengalami penurunan mendadak dalam pertandingan tiga penjuru.
"Di Padang Terap, BN hilang sokongan sebanyak 24%. Melayu di Pekan sendiri menyaksikan penurunan mendadak 23.9% undi," katanya.

Invoke berkata sebab penurunan mendadak terhadap sokongan BN di 47 kerusi Parlimen ini disebabkan kemelut Felda berpanjangan yang menyebabkan kesannya turut dirasai peneroka.
"Selain itu skandal di peringkat nasional yang menyelubungi pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.
"Masalah kenaikan harga barang yang meruncing yang juga masalah sama di seluruh negara," katanya.
Rafizi berkata kajian ini dilakukan Invoke sebelum tercetusnya kemelut dalam Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang menyaksikan pengerusinya Isa Samad disingkirkan.
Semalam, Putrajaya mengumumkan Dr Sulaiman Mahbob akan menggantikan Isa sebagai pengerusi FGV. Sementara Isa pula dipindahkan ke Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

1 ulasan:

  1. Ikut pemerhatian saya, ppbm diperlukan utk kerjasama erat bersama komponen ph terutama dap...
    Undi akan kekal dan meningkat sekiranya kerjasama erat berterusan antara ppbm, ph..
    Peranan ppbm amat2 diperlukan utk tujuan itu.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA