Jumaat, 23 Jun 2017

Umno tidak seperti dulu, kini di 'hijack' Najib, kata Tun M



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Umno hari ini bukan seperti dahulu di bawah beberapa pemimpin negara selepas ditubuhkan pada 1946.
Sebaliknya Umno parti keramat orang Melayu itu hari ini telah di 'hijack' oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menjadi alat pelindung jenayah yang telah dan sedang dilakukan oleh Najib.
" Ia menggunakan duit Kerajaan dan duit 1MDB yang diselewengkan, untuk sogok ahli-ahli Umno supaya terus menyokong dirinya. Sogokan ini dibuat melalui pelbagai cara. Umno Najib tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair.
"Laporan Department of Justice Amerika (DoJ) menunjuk bagaimana berbillion Ringgit yang diselewengkan disalahguna, selain dari sogokan untuk mendapat sokongan; untuk cara hidup mewah. Duit diguna untuk beli kapal terbang, kapal mewah, hartanah dan bangunan mewah di Amerika dan UK, berlian beratusan juta Ringgit sebiji untuk isteri Malaysian Official 1, iaitu Najib," ujarnya di dalam blognya hari ini.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga berkata, kini ramai ahli-ahli Umno di Kubang Pasu hadir dalam acara iftar yang diadakannya baru-baru ini.
"Ramailah juga ahli-ahli Umno Kubang Pasu yang hadir dalam acara iftar itu. Saya sedih kerana ramai lagi dari mereka yang masih berada dalam Umno," ujarnya.
Dr Mahathir kembali ke Parlimen Kubang Pasu selepas 14 tahun meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat di situ semalam.

Bahkan Dr Mahathir menyelar pandangan beberapa pihak dalam Umno yang menuduh parti pembangkang mampu mempengaruhi DoJ semata-mata untuk memburukkan seorang perdana menteri.
"Menuduh parti pembangkang di Malaysia mampu mempengaruhi Dept of Justice Amerika adalah satu kebodohan yang luar biasa. Dan duta besar Amerika telah menafikan tuduhan ini. Jenayah yang dilakukan adalah jenayah di Amerika, melibat bank-bank di Amerika, harta-harta di Amerika yang menyalahi undang-undang Amerika bernama Kleptocracy Asset Recovery.
"Semua ini tentu diketahui oleh orang Umno, terutama pemimpin mereka.Hanya yang telah disumbat dedak dalam mata dan telinga sahaja yang buta dan pekak yang tidak tahu," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA