Isnin, 5 Jun 2017

UMNO GELABAH, GOYAH & BIMBANG DITOLAK OLEH ORANG MELAYU...

Apabila  UMNO menganjurkan pertandingan dan menerbitkan buku “DAP Bahaya Kepada Melayu-Islam di Malaysia”, apakah DAP perlu bertindak  balas dengan menerbitkan  pula buku memperkatakan parti berasaskan Melyu-Islam sebagai bahaya kepada orang Cina serta bukan Islam di Malaysia?
Apakah dengan berbalas-balas penganjuran menulis buku dan menerbitkan artikel dan buku perkauman seperti dilakukan oleh UMNO akan menyumbangkan kepada perpaduan di negara ini?

Rasanya DAP dan Lim Kit Siang tidak akan terikut-ikut dengan rentak UMNO itu.

Namun persoalan ialah, apa sudah jadi dengan parti politik khususnya UMNO akhir-akhir ini?
Malang sekali yang menerbitkan artikel dan buku perkauman ini ialah UMNO, iaitu parti komponen utama Barisan Nasional (BN) yang sepatutnya menjadi ‘pengawal dan pengimbang’ kepada masalah polarisasi kaum dan etnik di negara ini.
Sejak merdeka dan ketika berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, UMNO membuktikan ia parti yang memainkan peranan ke arah mempertahankan perpaduan kaum di negara ini apabila mengemukakan pelan  penubuhan BN menggantikan Perikatan.
Namun kini?
Jelas UMNO, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa serta pasukannya termasuk Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan , Tan Sri Noh Omar sangat berbangga dengan hasil usaha yang dilihat terkebelakang itu.
Apakah ini menggambarkan dan sebagai isyarat bahawa UMNO dan BN sangat bimbang dengan sokongan rakyat terhadap pembangkang sehingga gelabah di peringkat gaban yang memaksa mereka menerbitkan dokumen bersifat perkauman sedemikian?

Apakah UMNO begitu goyah dengan pengaruh pembangkang apalagi selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dilihat akan menggantikan peranan UMNO dalam menegakkan kepentingan Melayu dan Islam?

Apakah bimbang kerjasama antara parti pembangkang menyebabkan UMNO semakin hilang arah dan gelabah tidak tentu pasal?
Persoalannya, apakah kejayaan menganjurkan pertandingan dan menerbitkan buku seperti ini akan menggembirakan orang Melayu dan Islam untuk mereka membenci DAP serta pemimpin parti yang dilabelkan sebagai anti-Melayu dan Islam’?
Kenapa mesti UMNO membangkitkan kebencian sedemikian pada ketika ia sepatutnya membuktikan kepada semua orang Melayu dan orang Cina mengenai sumbangan dan jasa UMNO selepas 71 tahun ditubuhkan?
Apakah pemimpin UMNO merasakan ia tidak lagi mampu melakukan tugas meyakin dan menarik sokongan orang Melayu dan perasaan hormat rakyat bangsa lain kepada parti itu?
Apakah cara menghentam DAP dan pemimpinnya akan menyebabkan orang Melayuseratus peratus  akan menyokong UMNO dalam pilihan raya akan datang?
Juga dengan berbuat demikian, apakah orang Cina akan semakin yakin dengan BN dan menambahkan sokongan kepada MCA dan Gerakan gara-gara menghentam DAP dan pemimpinnya sebagai ‘rasis’ dengan begitu teruk sekali?
MCA dan Gerajkan Bantah RUU355
Meletakkan DAP dan pemimpinnya sebagai musuh Melayu dan Islam adalah perbuatan melampau. Kalaupun mahu enarik sokongan dan mengharapkan rakyat mengundi UMNO dan BN pada pilihan raya umum ke-14 nanti, sewajarnya jangan sampai begitu jauh bermain dengan isu perkauman dan keagamaan.
Penerangan UMNO nampak seperti bankrap idea.
Bagaikan tiada cara lain sudah dari segi tindakan untuk memujuk orang Melayu-Islam agar menyokongnya dan tiada cara lain lagi selain mengecop  DAP sebagai musuh ‘Islam dan Melayu’.
Pendekatan ini ada risikonya. Ia berisiko  bukan kepada sokongan politik kepada UMNO dan BN semata-mata tetapi akan menyebabkan semakin renggangnya orang Cina dengan masyarakat Melayu, khususnya dengan penyokong UMNO.
Apakah perbuatan merenggangkan antara kaum dan agama ini sebagai pra-syarat kepada negara maju dan perjuangan UMNO ke arah Transformasi Nasional 2050?
Atau TN50 itu untuk masyarakat Melayu dan UMNO semata-mata?
Jangan lupa bahawa DAP mempunyai pengaruh yang kuat di Pantai Barat, kalaupun tidak di Pantai Timur dan perbuatan UMNO ini akan menyebabkan polarisasi kaum yang bertambah buruk di negeri-negeri berkenaan.
Kesannya akan mendatangkan gejalaburuk dalam semua aspek yang akhirnya menyebabkan polarirasi kaum dan segregasi antara kaum pada peringkat yang kronik.
Di sebalik perbuatan yang mempunyai motif politik perkauman yang tebal seperti ini, apakah UMNO mahu mengajar dan mengheret rakyat negara ini ke kancah kebencian kaum yang melampau?
Kenapa sebegini teruk pemikiran pemimpin UMNO khususnya Penerangan UMNO sehingga tidak melihat kepada kesan kepada hubungan kaum dan agama di negara ini?
Kalaupun merasakan DAP mempunyai  pegaruh yang sukar untuk dibendung, UMNO dan BN jangan sampai menggunakan isu dan pendekatan perkauman dan agama dalam menyerang DAP dan pemimpinnya.
Atau apakah UMNO merasakan ini sahaja cara paling sesuai untuknya bertindak melawan arus pengaruh parti berbagai kaum ini daripada terus disokong, termnasuk oleh masyarakat Melayu dan Islam pada pilihan raya umum akan datang?
Tindakan  Annuar menaja pertandingan esei mengapa ‘Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang Rasis’ dengan hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 yang ditawarkan kepada pemenang pertandingan - walaupun diuar-uarkan berjaya menarik kira-kira 1,200 penyertaan dalam pelbagai kategori seperti blog, video dan grafik - kesan secara terus kepada bukan Melayu dan Islam sangat dibimbangi.
Yang nyata dan pasti ialah.  buku itu jelas bersifat menghasut kebencian dalam kalangan rakyat yang cintakan keamanan,  selain akan  menjejaskan perpaduan yang dicapai selama ini, gara-gara kepentingan politik UMNO semata-mata yang dilihat semakin hilang pengaruhnya.
Memandangkan sudah ada laporan polis dan aduan pihak tertentu, termasuk surat rayuan peribadi kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk bertindak dengan segera terhadap buku ini, kita akan dapat melihat apakah aka nada tindakan sewajarnya akan dibuat?
Rakyat bukan Melayu dan bukan Islam pastinya tidak akan sekadar memerhati. Mungkin kalaupun tidak membantah atau melakukan tindakan spontan, ‘kemusnahan sudah dilakukan’ dan perasaan yang mungkin terpaksa dipendamkan itu dibimbangi akan menjadi ‘api dalam sekam’.
Malaysia sudah mempunyai rekod pertelingkahan kaum yang pernah menggoncangkan kestabilan negara. Dengan membiarkan tindakan oleh parti pemerintah membuat provoksi seperti ini, sama sekali  tidak akan membawa kebaikan.
Sebaliknya akan memburukkan keadaan polarisasi kaum dan meningkatkan syak-wasangka antara kaum dan agama.
Jika benar DAP dan pemimpinnya ‘anti-Melayu dan Islam’, adalah lebih baik sebagai pemerintah,  UMNO dan BN mengambil tindakan melalui saluran undang-undang, bukan menerbitkan dokumen yang boleh menjejaskan perpaduan antara kaum dan agama.
Apakah tindakan oleh UMNO i ini tidak bersifat ‘rasis’?  Inikah cara paling baik untuk bertindak terhadap Kit Siang sekiranya beliau benar-benar  mengamalkan ‘perkauman’?
Apakah ini tindakan yang terbaik untuk menentang DAP, jika benar ia menentang Islam?
Mencipta isu dan menghukum parti dan sesuatu kaum lain dengan ‘penilaian dan keputusan sendiri’ tidak menggambarkan kebijaksanaan UMNO.

Ironinya buku "DAP Bahaya Kepada Melayu-Islam Di Malaysia" yang memuatkan 16 rencana tidak memaparkan sebarang nama penerbit dan pencetak seperti yang disyaratkan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Kedudukan ini menyebabkan Ketua Pemuda DAP Wong Kah Woh membuat pertanyaan bagaimana sebuah buku  disusun atau diterbitkan tanpa butiran ini? "Ini adalah satu lagi percubaan yang jelas melanggar undang-undang,” kata Wong.

Apakah pertandingan dan penerbitan buku diusahakan oleh UMNO ini sebenarnya buku yang tidak berkredibiliti dan sengaja diuar-uarkan untuk menyakitkan hati orang bukan-Melayu dan bukan-Islam?
Sebagai parti utama dalam pasukan yang memerintah negara, UMNO dan BN mempunyai banyak pilihan jika benar mahu membuktikan DAP dan Kit Siang memang ;anti-Melayu dan anti-Islam'..
Dan pilihan itu jangan sampai menyebabkan orang bukan Melayu dan Islam merasakan mereka dijadikan mangsa hasil permainan politik perkauman yang masih menebal dan kebimbangan akan kalah dalam pilihan raya.
UMNO dan BN yang menguasai kerajaan mempunyai jentera,  peraturan dan perlembagaan untuk mengawal selia perbuatan dan tindakan bersifat anti-Melayu dan Islam, jika benar ia memang berlaku.
Namun menggunakan media, apa lagi menaja penerbitan artikel, video atau juga buku yang menyerang pemimpin dan parti pembangkang  dengan melabelkan mereka ‘rasisi’ serta ‘anti-Melayu dan Islam’ seperti ini sangat medukacitakan.

Walaupun berusia 71 tahun, jelas pemimpin UMNO bukan semakin waras dalam tindakan sebaliknya gelabah, goyah dan bimbang akan ditolak oleh rakyat yang menyebabkan ia meroyan dan membuat keputusan yang mendatangkan bahaya kepada perpaduan dan masa depan Malaysia.

1 ulasan:

  1. Jgn tertipu dgn helah parti penyamun umno/bn.....ini adalah strategi serampang berbilang mata.....tapi strategi utama mereka ialah menggunakan penipuan SPR dan JPN dan jabatan2 lain kerajaan dlm usaha menipu dalam pilihanraya........tapi PH kena juga memberikan penerangan dlm isu rasis yg dibangkit oleh umno/bn.....juga paling utama membenteras penipuan SPR dan Jabatan2 kerajaan yg telah dilembukan oleh penyamun haramjadah umno/bn......

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA