Isnin, 5 Jun 2017

Trump dan ‘pembela agama’ di Malaysia adalah kembar


 
Selain menyemarakkan kebencian dan permusuhan, penyokong Trump dan kumpulan yang mengaku pembela agama Islam' di Malaysia sebenarnya tidak mempunyai idea bernas untuk pembaikan masyarakat.
Pembela-agamaOleh Rozhan Othman
Ketika Presiden Doland Trump cuba mengenakan sekatan kemasukan orang dari beberapa negara Islam ke Amerika Syarikat, orang Islam di Malaysia turut merasa marah dengan tindakan itu.
Demikian juga, sentimen Islamofobia yang dimainkan Trump membuatkan ramai orang Islam resah.
Laporan dari berbagai sumber menunjukkan peningkatan jenayah kebencian yang mensasarkan orang Islam sejak Trump menjadi presiden. Ini termasuklah pembakaran beberapa buah masjid di AS.
Jika orang Islam di Malaysia marah dengan perkembangan di Amerika Syarikat, eloklah mereka turut menilai perkembangan di tanah air sendiri.
Sebenarnya keadaan di kalangan orang Islam sendiri di negara kita tidaklah banyak berbeza. Semakin banyak NGO dan juga parti politik yang mendakwa membela Islam yang menggunakan sentimen xenofobia serta sinofobia (takut pada orang Cina) dan fobia terhadap agama lain.
Ada di antara golongan ini mengutarakan pendirian bahawa bangsa lain adalah pendatang dan lebih suka jika mereka diusir ke negara asal mereka. Ada di antara golongan ini memomokkan seolah-olah kedudukan Islam akan terancam jika berlaku perubahan kepimpinan dan pemerintahan di negara ini.
Seperti Trump, NGO dan parti politik “pembela agama” ini menggunakan kebencian dan ketakutan sebagai mesej teras mereka. Bahasa yang mereka gunakan bertujuan menyemarakkan permusuhan.
Caci-cerca, ugut-mengugut serta kecam-mengecam adalah gaya utama mereka. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka akan dilabel sebagai “liberal”,
pengkhianat, munafiq dan musuh.
Sebenarnya konsep “ketuanan” yang dibawa para “pembela agama” ini tidaklah berbeza dengan konsep “America first” yang dibawa Trump. Gaya serta pendekatan mereka pun hampir sama.
Jika kita perhatikan dengan teliti, kita dapat lihat bahawa Trump dan “pembela agama” ini seolah-olah saudara kembar. Bezanya mereka memakai kopiah, serban dan jubah sedangkan Trump memakai tali leher dan jaket.
Jika Trump suka meraba-raba wanita, golongan “pembela agama” ini lebih cenderung untuk melempang orang dan mengeluarkan “fatwa”.
Tidak keterlaluan jika kita kata Trump sebenarnya mengikut atau meniru gelagat kembar mereka dari kalangan “pembela agama” atau tindakan Trump merupakan reaksi balas dendam.
Jika orang Islam di Malaysia merasa marah dan resah dengan tindak-tanduk Trump, bagaimana pula mereka boleh menyepikan diri bila golongan seagama mereka bertindak sedemikian?
Adakah mereka menganggap sesuatu pemesongan salah hanya bila dilakukan Trump tetapi tidak merasakan ia salah bila dilakukan rakan seagama mereka sendiri?
Jika mereka boleh melihat betapa terpesong pendirian serta tindak-tanduk Trump, adakah mereka tidak dapat melihat pemesongan yang dilakukan oleh golongan “pembela agama” ini?
Jenis Islam dibawa ‘pembela agama’

Jika kita teliti keterangan yang diberikan oleh mualaf yang memeluk Islam, mereka lazimnya tertarik kepada Islam kerana nilai-nilai akhlak Islam yang murni dan lembut bertoleransi yang diajar Al-Quran dan yang terdapat pada keperibadian Rasulullah.
Mereka tertarik pada Islam sebagai agama yang menganjurkan kedamaian. Demikian juga, perjuangan Islam membina persaudaraan sejagat adalah satu konsep yang sangat menarik pada mereka.
Mujur mereka ini mengenali Islam melalui Al-Quran atau pembacaan buku serta berinteraksi dengan individu Muslim yang mencerminkan nilai-nilai ini.
Kita harus bertanya, adakah saudara baru ini akan tetap tertarik pada Islam jika watak Islam yang mereka lihat adalah dari kalangan NGO dan parti-parti politik “pembela agama” itu?
Mereka akan lihat Islam yang dibawa oleh “pembela agama” ini diwarnai dengan perkauman, pertuturan yang bengis, tindak-tanduk yang kasar dan ganas serta sikap suka menyemarakkan permusuhan, kebencian dan perbalahan.
Mereka akan melihat sifat Trump pada Islam.
Sekiranya Ramadan adalah bulan yang seharusnya membawa kita kepada ketaqwaan dan memupuk kesabaran serta sifat-sifat mulia, saudara baru ini akan melihat sifat sebaliknya jika mereka teliti akhlak dan tindak tanduk para “pembela agama” ini.
Fenomena “pembela agama” suka menjaja kebencian dan bersikap bengis bukanlah sekadar peristiwa terasing. Kesemua ini berlaku kerana ia memang direstui oleh pemimpin mereka.
Setiap kali ada di antara “pembela agama” ini bertindak bengis atau angkuh, pemimpin mereka akan berdiam diri dan tidak menegur atau cuba
membetulkan mereka.
Persamaan Trump dan ‘pembela Islam’
Demikianlah juga dengan keadaan di AS. Apabila masjid dibakar dan orang Islam dicaci dan dicemuh, Trump hanya berdiam diri. Pemimpin “pembela agama” di Malaysia sama sahaja sikap dan gelagat dengan Trump.
Islam tidak merestui kemungkaran mahu pun kezaliman yang dilakukan oleh sesiapa, khususnya ummatnya. Tindak-tanduk yang bertujuan menyemarakkan kebencian, permusuhan, tindakan ganas dan bengis serta mencaci-cerca sangat bertentangan dengan Islam.
Sebaliknya, Rasulullah mengajar kita supaya membetulkan kezaliman.
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebaikan, memberi kepada kamu kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Maksud An Nahl: 90)
Rasulullah s.a.w. berpesan kepada kita, “Janganlah kamu mentaati perkara-perkara maksiat. Ketaatan hanyalah dalam perkara yang ma’ruf.”(Hadis Al Bukhari)
Rasulullah s.a.w. menyebut, “Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi.” Para sahabat kehairanan, lalu bertanya “Memang kita perlu bantu saudara kita yang dizalimi, tapi bagaimana pula kita membantu mereka apabila mereka melakukan kezaliman?”
Maka jawab Rasulullah, “Engkau mencegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara membantu saudaramu yang zalim.” (Al Bukhari)
Tindakan Trump menyemarakkan kebencian terhadap Islam menggalakkan golongan ekstremis Islamfobia menjadi lebih berani bertindak ganas.
Ini sampai ke tahap menyebabkan kematian 2 orang di Portland, Oregon. Pada 26 Mei lalu, seorang ekstremis kulit putih, Jeremy Christian, mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang gadis Islam berhijab.
Tiga orang lelaki yang juga berkulit putih yang menyaksikan keadaan itu cuba menghalang Jeremy. Ketiga-tiga mereka ditikam Jeremy dan 2 daripada mereka terbunuh.
Ketika dibawa ke mahkamah, Jeremy melaungkan bahawa dia adalah seorang patriot. Sikap beliau tidaklah berbeza dari mereka yang mengaku diri mereka “pembela agama” tetapi bertindak bengis, ganas dan suka menyemarakkan kebencian dan permusuhan.
Jeremy merasakan dia di jalan benar dan penjaja kebencian di Malaysia pun mendakwa mereka di jalan “kebenaran”.
Malah, ada di antara golongan “pembela agama” beranggapan kad keahlian kumpulan mereka melayakkan mereka masuk ke syurga.
Dan masalah 2 kembar ini…
Terdapat satu masalah utama dengan dua beradik kembar penjaja kebencian ini, Trump dan golongan “pembela agama” di sini.
Selain menyemarakkan kebencian dan permusuhan, mereka sebenarnya tidak mempunyai idea bernas untuk pembaikan masyarakat.
Di AS, Trump menjadikan pemansuhan Obamacare sebagai keutamaannya.
Tetapi sehingga kini dia masih belum dapat menyediakan dasar penjagaan kesihatan alternatif yang boleh diterima rakyat. Dasar ekonominya masih kabur sehingga kini.
Demikian juga dengan pendekatan yang akan diambilnya untuk menyelesaikan krisis Palestin-Israel.
Demikianlah juga dengan keadaan di Malaysia. Selain daripada menakut-nakutkan, menyemarakkan kebencian serta permusuhan, golongan “pembela agama” ini tidak menawarkan sebarang ide yang jelas mengenai pembangunan negara.
Selain menunjukkan kebengisan dan kejahilan diri, golongan ini lebih didorong oleh dedak yang diberi.
Pegangan agama mereka lebih berasaskan sentimen dan emosi yang dicampur adukkan dengan perkauman.
Adakah kita akan membiarkan masa depan kita dicorakkan oleh para penjaja kebencian atau tidakkah kita sepatutnya menujukkan jalan kepada bentuk masyarakat yang dibina oleh Rasulullah itu?
Bukankah kita seharusnya lebih bijak dan rasional serta bertindak berpandukan Al Quran serta tauladan Rasulullah?
Bukankah sudah tiba masanya kita sendiri menentukan masa depan kita dan tidak membiarkan ia diculik atau dicuri oleh golongan penjaja kebencian itu?
Umat Islam di Malaysia perlu menilai ke manakah kesudahan gejala kebencian dan permusuhan yang disemarakkan oleh golongan “pembela agama” di negara kita.
Adakah ia juga akan berakhir seperti di Portland, Oregon? Inikah Malaysia yang ingin kita wariskan kepada generasi akan datang?
Adakah kita sebahagian dari masalah yang dihadapi masyarakat atau penyelesaian kepada masalah yang dihadapi?
Akhir sekali, jika di AS sudah muncul tanda-tanda rakyat meragui Trump dan kemungkinan dia akan tumbang, sudahkah tiba masanya umat Islam di Malaysia menolak golongan penjaja kebencian di sini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA