Ahad, 4 Jun 2017

Tidak mudah bekerja dengan Dr Mahathir, akui ketua Pemuda PKR

NIK Nazmi Nik Ahmad mengalami kesukaran berkata-kata pada akhir temubual selama sejam selepas semua soalan yang dilemparkan kepadanya dijawab dengan mudah.
Ketua Pemuda PKR itu dengan yakin menjelaskan bagaimana Pakatan Harapan (PH) akan menangani inisiatif TN50 yang perkenalkan Barisan Nasional (BN) atau bagaimana beliau menandingi ketua Pemuda BN yang popular, Khairy Jamaluddin.
Tetapi apabila beliau menerangkan bagaimana bekerja dengan musuh yang kini menjadi sekutunya Dr Mahathir Mohamad, kata-katanya menjadi lebih berhati-hati.
Sejarahnya sebagai aktivis reformasi dan bekas pembantu kepada bekas ketua pembangkang Anwar Ibrahim menjadikan ia sukar untuk beliau berkata sudah melupakan segala-galanya dan kini mampu bekerja dengan Dr Mahathir.
Kesukaran ini mencerminkan jurang besar keyakinan aktivis reformasi tegar sepertinya yang terpaksa berubah beberapa bulan lalu demi mengukuhkan pembangkang bagi mengalahkan BN dalam pilihan raya akan datang.
Selepas perpisahan menyakitkan daripada rakan sekutu lama, PAS, semua parti dalam PH – PKR, DAP dan Amanah – terpaksa mengetepikan semua perasaan tidak puas hati bertahun yang lalu untuk bekerja dengan Dr Mahathir dan bekas ahli politik Umno lain yang kini memimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Ia bukan sesuatu yang mudah. Saya hanya boleh bayangkan bagaimana bagi pihak Anwar, keluarganya dan semua orang yang menderita lebih teruk lagi," katanya kepada The Malaysian Insight.
Nik Nazmi aktif dalam pergerakan pro-reformasi "Mahasiswa lawan Mahathir" pada 2001.
Beliau menjadi pembantu sepenuh masa Anwar pada 2006, apabila ahli politik itu mula memulakan semula kerjayanya selepas dibebaskan pada 2004.
Ketika itu, Dr Mahathir, penyokong BN dan mentor kepada Najib Razak, terus menyerang secara terbuka Anwar, PKR dan pembangkang.
Permusuhan Dr Mahathir terhadap Anwar dan seluruh pembangkang hanya berhenti apabila beliau menubuhkan Bersatu pada Ogos tahun lepas dan mengumumkan ia akan menyertai PH.
Kini Dr Mahathir adalah sebahagian PH, Nik Nazmi dan orang lain yang sepertinya dipaksa menerima bekas musuh sebagai sekutu yang amat diperlukan.
Dalam temubual dengan The Malaysian Insight, Nik Nazmi bercakap tentang proses mendamaikan dirinya dengan hakikat beliau kini perlu bekerjasama dengan Dr Mahathir.
Dan sama ada akhirnya, ahli politik pembangkang tegar sepertinya boleh mempercayai Dr Mahathir akan melakukan perkara yang betul jika mereka berjaya menguasai kerajaan.
Berikut adalah petikan temubual itu:
S: Bagaimana rasanya menjadi seorang aktivis menentang Dr Mahathir dan kini Adun Selangor kepada Dr Mahathir?
J: Pembetulan, Adun Selangor yang bekerjasama dengan Dr Mahathir. Itu masa lalu dan kami kini sedang menghadapi perjuangan lebih besar terhadap Najib.

S: Anda bekerja dengan Anwar sejak 2006 dan melihat sendiri perbuatan rejim ini kepadanya. Bagaimana rasanya bekerja dengan lelaki yang memulakan dan melakukan semua itu?
J: Saya sudah terbuka dengan hal ini. Ia bukan sesuatu yang mudah; saya hanya boleh bayangkan bagaimana Anwar, keluarganya dan mereka yang menderita lebih teruk. Tetapi Anwar sendiri mengajar yang kita kini ada perjuangan menentang Najib dan perlu memberi tumpuan kepada perkara lebih besar dan Dr Mahathir turut berjuang menentang rejim ini. Dan saya berfikir Najib melakukan kerosakan besar kepada negara. Kita perlu dapat bergerak ke depan.
S: Saya dapat lihat emosi yang mendalam semasa anda menjawab soalan ini. Hakikatnya, anda mengalami kesukaran menjawab berbanding soalan lain yang saya ajukan dan menunjukkan anda mungkin tidak yakin untuk melupakan segala-galanya. Adakah ia benar?
J: Tidak, saya sudah melupakannya. Secara jujur, saya melihat Tun bercakap dan saya fikir beliau ikhlas dalam menentang Najib.
S: Bolehkah anda mempercayai Dr Mahathir?
J: Saya fikir beliau cukup ikhlas dengan kekecewaannya terhadap Najib. Saya tidak ragu-ragu tentang itu. Beliau mempunyai rasa yang Najib memusnahkan negara dan segala sumbangannya. Jadi saya berfikir keinginan beliau untuk mengubah rejim Najib adalah benar.
S: Dr Mahathir berkata beliau mahu menamatkan rejim Najib, tetapi adakah anda percaya bagi inginkan pembaharuan?
J: Bersatu memerlukan kami dan kami memerlukan Bersatu. Jadi, jika tumpuan mereka adalah untuk menjatuhkan Najib dan memerangi rasuah dan bagi kami ia adalah mengenai pembaharuan institusi maka kami perlu menggabungkannya untuk mencapai kedua-dua objektif ini. Ia tidak boleh terpisah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA