Sabtu, 10 Jun 2017

Tiada lagi ‘Amanat Haji Hadi’, kini zaman kerjasama Umno-PAS


Tiada lagi ‘Amanat Haji Hadi’, kini zaman kerjasama Umno-PAS
Era baru hubungan PAS dan Umno dapat dilihat jelas dengan kemesraan yang diperlihatkan pemimpin atasan kedua-dua parti. 
"KITA menentang Umno, bukan kerana namanya. Kita menentang Barisan Nasional (BN) bukan kerana ia lama memerintah kerajaan.
"Kita menentang kerana ia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah.
"Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Kalau kita mati melawan puak ini, mati kita adalah syahid."
Ucapan panas itu dibuat Abdul Hadi Awang di Kampung Banggol Peradong pada 1981. Presiden PAS ketika itu baru berumur 34 tahun dan mula dikenali ramai.
Ucapan itu dijadikan "Amanat Haji Hadi" oleh pengikut PAS bagi menentang Umno yang disifatkan sebagai tidak Islamik oleh pengikutnya.
Ia juga antara punca perpecahan dalam keluarga dan sembahyang dua imam di surau dan masjid antara pengikut PAS serta Umno di negeri pantai timur.
Ia berlaku 36 tahun lalu ketika Hadi di awal karier politiknya.
Namun kini, segala-galanya sudah berubah.
Hadi kini nampaknya lebih cenderung memuji Umno berbanding mengecam di depan ahlinya. Parti Islam itu menafikan sebarang hubungan rapat presiden dengan presiden Umno, berdasarkan pandangannya yang memberi keutamaan kuasa politik Melayu dan Islam di Malaysia mengatasi perkara lain.
Era baru yang mempunyai hubungan lebih selesa antara PAS dan Umno dapat dilihat apabila anak didik Hadi, Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairudin Aman Razali, berkongsi menaiki kereta dengan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman.
Gambar mereka berdua menaiki kereta bersama tular di media sosial dan terpaksa dijelaskan panjang lebar oleh ketua penerangan Dewan Ulama PAS.
Sebelum itu, Hadi sendiri sudah boleh menaiki bot bersama ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Menteri Pertanian, Ahmad Shabery Cheek dalam satu majlis di Marang.
Kedatangan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ke daerah ini juga disambut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Hussein Awang.
Mereka berbuka puasa bersama di Masjid Tok Jembal, beberapa kilometer sahaja dari Masjid Batu 6, pusat aktiviti PAS ketika budaya kafir mengkafir membuak-buak di kalangan penyokong PAS 36 tahun lalu.
Ia juga beberapa kilometer sahaja dari Kampung Banggol Peradong, tempat Hadi memberikan ucapannya 36 tahun lalu.
"PAS sudah berubah sekarang dan Umno bukan lagi musuh PAS," kata Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, Adun PAS dari Batu Burok.

Walaupun masih kekal dalam PAS, beliau ternyata berbeza pandangan dengan pemimpin parti Islam yang ada sekarang apabila ia tidak lagi bersama parti pembangkang lain.
Menurut bekas setiausaha politik kepada Hadi itu, PAS mungkin tidak bergabung dengan Umno dalam BN tetapi tidak akan bermusuh bahkan mungkin bekerjasama dengan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
"Saya dimaklumkan oleh seorang Adun Umno Terengganu, arahan sudah dibuat agar mereka tidak menjadikan PAS sebagai musuh.
"Kalau boleh kerusi Hadi di Marang tidak lagi ditandingi oleh Umno," beritahu Syed Azman kepada The Malaysian Insight ketika mengulas keengganan pemimpin Umno menjawab dakwaan pemimpin akar umbi PAS yang mereka boleh menang di Terengganu kali ini.
Namun, kata bekas pensyarah sains politik di Universiti Malaya itu, walaupun kata sepakat sudah dicapai di peringkat atasan, ia sukar diterima penyokong bawahan PAS dan Umno.
"Sebab itu kerjasama rasmi tidak akan berlaku," kata Syed Azman yang menjangkakan pertandingan tiga penjuru di Terengganu pada PRU14.
Beliau menjangka, Umno hanya akan meletakkan calon untuk kalah sahaja di beberapa kerusi yang hendak diserahkan kepada PAS termasuk Parlimen Marang, DUN Rhu Rendang yang kedua-duanya dimenangi Hadi sebelum ini dan beberapa kawasan lain.
Tidak sebagaimana didakwa akar umbi PAS, apabila berlaku pertandingan tiga penjuru, Syed Azman yakin BN akan mengekalkan kuasa di Terengganu.
"Umno sendiri mengaku, kalau tiga penjuru mereka akan selesa di Terengganu. Kalau satu lawan satu, BN akan kalah kali ini," kata Syed Azman yang tidak menolak Pakatan Harapan (PH) akan menang beberapa kerusi di kawasan bandar walaupun berlaku pertandingan tiga penjuru.
"Suasana sekarang berbeza dengan PRU13 lalu. Dulu semua pihak yakin dengan PAS tetapi tidak lagi sekarang," katanya menolak dakwaan parti PH akan kalah teruk dalam pertandingan tiga penjuru sebagaimana berlaku dalam PRU13 di Terengganu.
Pada PRU13 lalu, calon PKR yang bertanding di kawasan DUN Kota Putera, Seberang Takir dan Bukit Besi hilang wang pertaruhan mereka dalam pertandingan tiga penjuru melawan BN dan PAS.
Pandangan Syed Azman disokong Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Bahrin Shah, bahkan bagi beliau PAS perlu berterus-terang kepada ahli dan penyokongnya tentang kerjasama dengan Umno.
"Ini bukanya strategi muslihat perang berhadapan musuh yang dibenarkan Islam. Ini penipuan dan pengkhianatan besar kepada pengikut serta ahli PAS sendiri apabila pimpinan atasan PAS bekerjasama erat dengan musuh lama Umno untuk kepentingan sendiri," katanya.
Kata Raja Bahrin, PAS bimbang bimbang hilang sokongan ahli yang begitu lama melawan serta menderita di atas kezaliman dan kerakusan Umno-BN.
"Realitinya PAS hari ini bukan lagi PAS zaman Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. PAS hari ini adalah penyambung hayat kepada Umno sementara Umno pula sedang menghancurkan perjuangan PAS yang asalnya suci," kata Raja Baharin.

3 ulasan:

  1. Amanat karut untuk keuntungan politik. Bila keluar pr, kata tak boleh kerjasama dgn dap sbb kafir harbi tapi kenapa dulu boleh. Piiiraah

    BalasPadam
  2. Hanya orang bodoh sahaja yg berani menhina dan mencerca orang yang Alim.. kerana itulah diwajibkan menuntut ilmu supaya tidak bodoh dan buta agama !!
    Fatwa boleh berubah mengikut keadaan, bahkan hukum juga berubah apabila 'illat'nya berubah..Islam bukan agama rigid mcm batu berhala!!
    Hanya orang munafik dan orang kafir yang sangat benci dengan perpaduan dikalangan hamba hamba Allah kerana mereka itu adalah hamba hamba syaitan atau syaitan dari jenis manusia !!!

    Mereka semua melayu dan mereka menyembah Allah.. parti hanyalah wadah .. matlamat akhir ialah keredhaan Allah bukan kehendak al juburit dan kuncu kuncunya !!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Parti Asyik Syok sendiri....korang jer perasan yg korang tu alim dan suci tp sebenar korang tu pengikut ulamak suk....spt yg ada dlm parti penjenayah umno/bn...perangai hasad dengki korang dan busuk hati korang tu menutup pertimbangan korang utk menerima kenyataan akan perangai buruk korang tu...

      Padam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA