Isnin, 5 Jun 2017

Tiada kuasa haramkan arak dalam penerbangan, kata menteri MCA

Keputusan itu bersifat perniagaan dan terletak di bawah bidang kuasa syarikat penerbangan itu, kata Liow Tiong Lai.
Liow-Tiong-Lai-alcoholPETALING JAYA: Kementerian pengangkutan tidak berkuasa untuk mengharamkan hidangan arak dalam penerbangan Malaysia Airlines, kata Menteri Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata keputusan itu bersifat komersial maka terletak di bawah bidang kuasa syarikat penerbangan.
“Memang tidak ada sekatan (untuk mengharamkan hidangan arak dalam pesawat MAS). Ini adalah keputusan komersial, bukan di bawah kerajaan. Ia adalah keputusan perniagaan,” katanya kepada FMT hari ini.
Beliau menambah kementerian juga tidak mempunyai peraturan atau garis panduan mengenai arak dalam penerbangan.
“Semua di bawah syarikat penerbangan. Kementerian tidak ada apa-apa peraturan sedia ada. Ini perkara komersial. Tidak ada guide line dalam perkara ini.” katanya.
Beliau diminta mengulas gesaan daripada PAS yang mahu arak diharamkan daripada menu penerbangan Malaysia Airlines, selepas seorang penumpang bermasalah memaksa penerbangan MH128 ke Kuala Lumpur 31 Mei lalu berpatah balik ke Melbourne selepas lelaki itu cuba memasuki kokpit.
Laporan awal mendakwa penumpang itu mabuk dengan memetik Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ab Aziz Kaprawi. Polis Australia bagaimanapun mengesahkan penumpang warga Sri Lanka berusia 25 tahun itu mempunyai masalah kesihatan mental.

Dua tahun lalu, sebuah pesawat Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Colombo terpaksa berpatah balik selepas seorang penumpang mengamuk kerana permintaannya untuk dihidangkan minuman keras tidak dilayan.
Ia mengundang gesaan beberapa pihak supaya syarikat itu berhenti menyajikan arak dalam penerbangan.
Gesaan sama pernah dibuat oleh Mufti Perlis, Datuk Asri Zainul Abidin susulan kejadian kehilangan pesawat MH370 dan nahas MH17 pada 2014.
“Masa MH370 saya telah cadangkan hal ini. Ini MH17, saya mohon cadangkan kepada kerajaan sekali lagi. Hentikan arak dalam MAS moga kita dirahmati Allah,” kata Asri dalam kenyataan Facebook pada 2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA