Khamis, 15 Jun 2017

Tiada Dana: Wong Chen mohon maaf hentikan program kebajikan

Ahli Parlimen Kelana Jaya menghantar surat mohon maaf kepada 355 pemohon yang terkesan dengan pemberhentian program itu.
wong-chen-surat-maaf-kelana-jayaPETALING JAYA: Ahli Parlimen Kelana Jaya hari ini memohon maaf kepada penduduk yang memohon bantuan melalui program kebajikan kawasannya, yang dihentikan sehingga pemberitahuan kelak.
Wong Chen melalui surat kepada penduduk terkesan berkata “tindakan tertentu” oleh kerajaan Selangor menyebabkan mereka ketiadaan dana untuk menjalankan program tersebut.
Tidak lama kemudian di Facebook, Wong Chen berkata pejabatnya menghantar 355 surat kepada penduduk yang ditemubual untuk program Bulan Kebajikan 2017 minggu lepas.
Beliau berkata sekurang-sekurangnya itu sahaja yang mampu dilakukan pihaknya kerana pemohon bersusah payah mengunjungi pejabatnya untuk mendaftar dan ditemubual.
“Kebanyakan penduduk saya berkongsi tambang teksi untuk datang ke sini dari Desa Mentari,” katanya.
“Sekurang-kurangnya yang boleh kita lakukan ialah memohon maaf secara rasmi kepada mereka.”
Wong Chen akan mendapatkan nasihat peguam dan juruaudit untuk tindakan susulan.
Permohonan maaf itu dihantar 2 hari selepas beliau mengambil keputusan untuk menghentikan program Bulan Kebajikan.
Beliau mengumumkan pemberhentian itu di Facebook pada Selasa, mengatakan keputusan dibuat selepas kerajaan Selangor menghantar faks ke pejabatnya pada lewat petang Jumaat.
“Kami sedang menutup pejabat kami apabila pejabat saya menerima faks dari kerajaan Selangor. Selepas membincangkan perkara itu dengan kakitangan saya, kami mengambil keputusan untuk menghentikan program Bulan Kebajikan sehingga diberitahu kelak,” katanya.
Ketika dihubungi, beliau enggan mendedahkan isi kandungan faks itu.
“Tak boleh bercakap mengenainya. Kami tidak akan kelurkan kenyataan mengenai perkara itu,” katanya kepada FMT, dan menambah kebimbangannya sekarang ini adalah memaklumkan pemberhentian program itu kepada penduduknya.
Buat masa ini, pejabatnya akan menghentikan peruntukan untuk komuniti dan kembali tumpu kepada kerja penyelidikan dasar awam dan latihan penyelidikan dasar awam untuk siswazah.

Ahli Parlimen PKR itu mengisi ruangan berita bulan lepas apabila beliau menyuarakan kebimbangan mengenai audit ke atas peruntukan belanjawan tahunan RM250,000 untuk pejabatnya yang ditangani secara tidak telus, tidak adil dan tidak menyeluruh.
Beliau berkata dapatan audit itu mendakwa pejabatnya gagal mematuhi garis panduan, maka beliau mengambil keputusan untuk mendedahkan dapatan audit itu dan kegagalan perbendaharaan Selangor menjawab soalan yang diajukan beliau dan kakitangannya.
Masih belum jelas, dan Wong Chen tidak mahu mengesahkan, sama ada faks kerajaan Selangor itu mempunyai kaitan dengan dapatan audit itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA