Jumaat, 9 Jun 2017

Tanpa GST, tiada pembangunan, sembang Najib


Tanpa GST, tiada pembangunan, kata Najib
Perdana Menteri Najib Razak menyifatkan kutipan GST banyak membantu pembangunan negara. 
Perdana Menteri Najib Razak mengakui kerajaan membuat keputusan yang sukar sewaktu melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Bercakap pada sesi dialog TN50 bersama Prasarana di Bangsar, beliau berkata kutipan GST sebanyak RM42 bilion adalah antara sumber yang menyumbang untuk pembangunan negara.
"Jumlah bajet kerajaan untuk pembangunan berjumlah RM48 bilion. Kalau kita tiada RM42 bilion itu maknanya tiada pembangunan dalam negara," katanya.
Beliau turut membidas pembangkang yang mahu menghapuskan GST supaya memberikan kaedah lain untuk mendapatkan pendapatan sebesar itu.
"Pembangkang kata jika mereka ada kuasa, tiada GST. Kutipan ini untuk pembangunan. Untuk bayar perkhidmatan.
"Jadi bagaimana mereka (pembangkang) hendak dapatkan wang RM42 bilion?," soalnya.
GST diperkenalkan kerajaan pada 1 April 2016 dengan kadar enam peratus dan memperolehi kutipan berjumlah RM42 bilion.
Pada 26 Mei lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata rakyat tidak akan dibebani GST jika Pakatan Harapan merampas Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.
PH dilihat sepakat memansuhkan GST sekiranya mereka membentuk kerajaan baharu.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Najib berkata pulangan dijana Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) tahun ini diunjur pada kadar RM17 bilion.
Katanya, lonjakan pulangan 27.8 peratus atau RM3.7 bilion berbanding tahun lalu adalah berdasarkan penggunaan pengangkutan awam pada kadar 21 peratus.

"Bayangkan nilai sumbangan ekonomi kepada negara apabila kadar penggunaan pengangkutan awam meningkat kepada 40 peratus menjelang 2030 seperti disaran kerajaan.
"Saya tiada perangkaan, namun sudah tentu nilai pulangan ekonomi akan semakin melonjak pada kadar yang lebih tinggi," katanya ketika sesi 'Townhall' bersama ribuan warga kerja Prasarana.
Menteri kewangan itu juga sempat menasihati warga kerja Prasana agar meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam negara.
"Malaysia unik kerana sebarang masalah, berkaitan pengangkutan pun yang akan dipersalahkan akhirnya adalah kerajaan dan perdana menteri.
"Oleh itu, kita kena pastikan kebergantungan rakyat terhadap keberkesanan sistem pengangkutan awam sentiasa berada pada tahap 'sifar kecacatan'," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA