Ahad, 18 Jun 2017

Soalan cepu emas: Saman terbaru AS akan jejaskan Najib di Malaysia?

SOALAN terbesar selepas Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) memfailkan tuntutan saman terbaru untuk merampas berbilion ringgit yang dikatakan dicuri daripada 1MDB ialah: Adakah pembangkang akan dapat mengeksploitasi isu itu dan menjejaskan Najib Razak pada pilihan raya umum (PRU) akan datang?
Pemerhati politik yang ditemu bual The Malaysian Insight bersetuju yang pendedahan bagaimana wang itu diselewengkan daripada syarikat pelaburan negara untuk membiayai gaya hidup mewah menjadi isu yang boleh mempengaruhi pengundi.
Ini sangat benar bagi pengundi kali pertama dan golongan muda, yang secara tradisionalnya tidak mempunyai ikatan kuat dengan parti dan memperoleh maklumat menerusi Internet.
Tetapi sebarang perbincangan mengenai kemungkinan impak saman DoJ terhadap politik Malaysia perlu ada kaveat: ia banyak bergantung pada pakatan pembangkang.
Pakatan Harapan (PH) jika mereka bersatu, boleh mengambil isu 1MDB dan mengeksploitasinya untuk kepentingan politik.
Dalam keadaannya pada masa ini yang berpecah, kemungkinan ramai ahli politik pembangkang lebih berminat untuk pertikaian dalaman mengenai kedudukan dalam PH.
Ibrahim Suffian dari Merdeka Center berkata: “Jika pembangkang boleh bertindak bersama dan eksploit perkara ini, mereka boleh menjejaskan sentimen umum terhadap parti pemerintah.”
“Ini akan mengingatkan semula rakyat kepada 1MDB dan penyelewengan yang berleluasa,” katanya.
Ketua bahagian analisis sosial dan politik Penang Institute Dr Wong Chin Huat bersetuju yang perpaduan, kempen PH yang bersatu mengenai 1MDB boleh melemahkan cengkaman Umno terhadap undi Melayu.
“Jika jentera Umno dan menteri buntu untuk menjelaskan mengenai 1MDB, maka anda ambil momentum itu jauh daripada mereka,” katanya, menambah memberikan tumpuan terhadap parti dan Najib berhubung pendedahan DoJ boleh memudarkan semangat dan tenaga Umno.
DoJ pada Khamis memfailkan saman ketiga untuk merampas AS$540 juta (RM2.3 bilion) aset yang dikatakan dibeli menggunakan wang curi daripada 1MDB. Ia menjadikan keseluruhan penyelewengan daripada syarikat itu mencecah AS$4.5 bilion.
Saman pertama difailkan pada Julai 2016 apabila DoJ bertindak merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion dalam bentuk hartanah dan karya seni.
Kali ini, DoJ mendakwa wang itu, antara lain digunakan untuk membeli rantai dan loket berlian merah jambu 22 karat untuk "Malaysian Official 1's wife" bernilai AS$27.3 juta.
Menteri Abdul Rahman Dahlan sebelum ini pernah mengakui pada September tahun lalu yang The Malaysian Official 1 merujuk kepada Najib. Namun, beliau bertegas mengatakan Najib tidak disiasat.
Trend pengundi
Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre berkata 1MDB mempunyai daya tarikan dalam kalangan pengundi Melayu kali pertama dan mereka yang di kelas pertengahan, di mana kedua-duanya mendapat berita daripada Internet dan media sosial.
Hisomuddin berkata trend dalam kalangan pengundi pertama sukar diramal seperti perkembangan politik di AS dan United Kingdom.
“Tetapi secara amnya, mereka anti establishment dan tidak setia kepada mana-mana parti,” katanya, menambah yang pengundi kali pertama dijangka membentuk satu pertiga daripada keseluruhan jumlah pengundi pada PRU1.
Ia juga isu besar dalam kalangan orang Melayu kelas pertengahan yang tahu bagaimana skandal itu menghancurkan imej negara dan melenyapkan keyakinan pelabur di Malaysia.

“Anda ke luar negara dan ada orang akan tanya menyapa Najib masih PM walaupun ada skandal besar menyelubunginya,” kata Hismoddin.
Wong berkata tuntutan saman DoJ itu dan publisiti negatif terbaru yang tersebar di seluruh dunia akan meyakinkan Najib untuk melengahkan PRU sehingga ke 2018.
“Dia bukan orang yang sanggup memperjudikan nasib. Jadi dia akan tunggu hingga tahun depan untuk mengadakan PRU,” katanya.
Langkah bijaknya ialah Najib akan memperkenalkan mandat baru tahun ini untuk mengambil kesempatan terhadap pembangkang yang tidak berfungsi dan nampaknya tidak setaraf dengan kekuatan Umno.
Di Putrajaya, pemikirannya ialah saman terkini DoJ itu tidak terlalu menjejaskan politik di Malaysia kerana semua kemarahan terhadap 1MDB sudah pun terzahir dalam penilaian kelulusan.
Dan juga, pasukan Najib percaya apa yang dapat mengekalkan Najib ialah persefahaman pilihan raya antara Umno dan PAS, dua parti besar yang mempunyai pengaruh terbesar terhadap pengundi Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA